Jalan raya di Malaysia atau koronavirus di Wuhan - mana lebih banyak ragut nyawa?
Razak Chik
Januari 28, 2020 21:48 MYT
Januari 28, 2020 21:48 MYT
SETAKAT ini, mana yang lebih banyak ragut nyawa – koronavirus yang bermula di Wuhan, China atau jalan raya kita sini di Malaysia?
Mungkin ada yang bertanya, ada apa pada angka. Mengikut jurucakap polis, Op Selamat yang bermula 18 Januari lalu sudah mencatat 138 kematian sepanjang sembilan hari durasi. (Sehingga artikel ini disiarkan, jumlahnya sudah meningkat kepada 150 orang). Nun di China, semakin hari semakin meningkat, koronavirus di Wuhan sudah meragut 107 nyawa sejak 9 Januari.
Koronavirus di udara nampaknya lebih menimbulkan kegusaran dan menarik perhatian rakyat Malaysia lebih daripada kes kemalangan jalan raya yang meragut lebih banyak nyawa.
Kematian pertama dari novel koronavirus (2019 n-CoV) dicatat pada minggu pertama Januari. Jumlah kematian meningkat ke angka 107 pada minggu ketiga (28 Januari). Kalau diteliti dari segi jumlah sahaja, lebih ramai mati di jalan raya Malaysia dalam jangka masa yang lebih singkat.
Melalui satu kajian yang dijalankan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Malaysian Road Safety Research atau MIROS), negara bakal mencatatkan 10,716 kematian akibat kemalangan jalan raya pada tahun ini (2020).
Mungkin koronavirus (2019 n-CoV) akan mencetuskan ledakan kematian tetapi buat masa ini, kemalangan jalan raya di Malaysia lebih banyak meragut nyawa.
Jika pemerintah di negara komunis China sedang bertungkus-lumus membina hospital khusus untuk menangani penularan koronavirus ini, Malaysia sudah ada pelan yang dijangka jauh pandang ke hadapan menangani isu kemalangan.
Sejak 2014 lagi Kementerian Pengangkutan telah melancarkan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia bagi tujuan meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya negara untuk jangka masa lima tahun.
Pelan ini selari dengan usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengurangkan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang tahun 2020.
Pelbagai strategi telah dirangka termasuk memperkemas pengurusan, pemantauan dan pengendalian kemudahan jalan raya dan lebuh raya negara.
Sekarang kita nantikan bila tempoh Ops Selamat tamat pada awal Februari, mana satu yang lebih ngeri – koronavirus dari Wuhan atau jalan raya kita sendiri!