Jalan pintas Gopeng-Kuala Kangsar dimuktamad selepas semua kajian selesai - Fadillah

Abd Razak Mohd Ali
Jun 21, 2022 16:12 MYT
Fadillah menjawab pertanyaan media selepas merasmikan Persidangan Pegawai Kanan Jabatan Kerja Raya Malaysia 2022 hari ini. - Foto BERNAMA
IPOH: Pembinaan jalan pintas Gopeng - Kuala Kangsar bagi mengurangkan risiko kemalangan maut berhampiran Terowong Menora, hanya akan dimuktamadkan selepas semua kajian berkaitan selesai untuk pertimbangan.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, syarikat swasta yang dilantik untuk projek cadangan itu perlu mematuhi syarat yang ditetapkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Menurutnya, antara syarat itu ialah menjalankan kajian mengenai alam sekitar, impak sosial dan kajian trafik.
“Macam mana nak tentukan boleh dilaksanakan, satu kos projek itu dan berapa nanti tol yang dikenakan untuk dia bayar balik hutang dan sebagainya, operasi dan sebagainya.
“Yang tu akan hanya dimuktamad bila semua kajian-kajian dan selesai dan dibentangkan.
“Barulah akan dimuktamadkan projek ini sama ada boleh dilaksanakan ataupun tidak untuk dilaksanakan,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Persidangan Pegawai Kanan (SOC) Jabatan Kerja Raya di Ipoh, pada Selasa.
Menurutnya, syarikat berkenaan diberi masa dua tahun untuk menyiapkan semua kajian sebelum dibentangkan kepada kerajaan.
Pada Mei, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerajaan sudah memberi kelulusan terhadap cadangan pembinaan jalan baharu itu dengan jarak sejauh 64 kilometer.
Katanya, pembinaan jalan tersebut tidak melibatkan peruntukan kerajaan, sebaliknya dilaksanakan melalui insiatif pembiayaan swasta (PFI).
Beliau mengulas langkah kerajaan negeri bagi mengurangkan kadar kemalangan yang berlaku di sekitar Terowong Menora yang sering berlaku kemalangan maut.
Pada 12 Mei lalu, lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang menaiki sebuah kereta Honda City rentung selepas kereta dinaiki terbakar akibat dirempuh sebuah treler.
#Fadillah Yusof #Kuala Kangsar #Saarani Mohamad #Sultan Azlan Shah
;