'Jalan pintas' ambil lesen memandu bahayakan diri, pengguna jalan raya - Lee Lam Thye
Sinar Harian
Februari 7, 2023 11:40 MYT
Februari 7, 2023 11:40 MYT
SHAH ALAM: Memiliki lesen memandu melalui ' jalan pintas' bukan sahaja boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain, malah meningkatkan risiko kemalangan jalan raya.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, individu yang ingin memiliki lesen memandu perlu mengikuti syarat-syarat ditetapkan dan tiada istilah 'gerenti lulus'.
Menurut beliau, antara syarat itu adalah menghadiri kursus dan kelas undang-undang jalan raya serta lulus ujian sama ada bertulis mahupun praktikal.
"Memberi rasuah untuk memiliki lesen dengan cara mudah sangat tidak betul. Orang macam ini tidak akan faham mengenai peraturan jalan raya.
"Kalau hendak memandu, seseorang itu kena tahu semua undang-undang yang telah ditetapkan bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya," tegasnya kepada Sinar Harian.
Media baru-baru ini melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pekerja sambilan di sebuah sekolah memandu kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah RM650 daripada seorang calon ujian memandu.
Menurut sumber, wanita berusia lingkungan 40-an itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.
Kata sumber berkenaan, suspek yang juga merupakan pembantu tadbir kanan di sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) dikatakan telah meminta wang tersebut sebagai dorongan mendapatkan lesen 'gerenti lulus'.
Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, amalan rasuah perlu diambil perhatian serius agar tidak berleluasa di negara ini.
"Semua pihak terutamanya agensi-agensi kerajaan perlu memperluaskan kempen hapus rasuah dan ia perlu bermula dengan pegawai-pegawainya.
"Ini kerana, agensi-agensi kerajaan perlu menjadi contoh kepada pihak lain," jelasnya. -Sinar Harian