Jalan Petaling bakal dijadikan lokasi Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-60 dalam kalangan kaum Cina - MCA

Bernama
Februari 6, 2017 21:31 MYT
SIN WOON: Jalan Petaling bakal dijadikan sebagai lokasi bagi Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-60 dalam kalangan masyarakat Cina tahun ini. - fotoBERNAMA
Jalan Petaling di sini bakal dijadikan sebagai lokasi bagi Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-60 dalam kalangan masyarakat Cina tahun ini, kata Ketua Pemuda MCA, Senator Datuk Chong Sin Woon.
Katanya hal ini kerana Jalan Petaling merupakan tapak warisan bersejarah yang menyaksikan pembangunan ibu kota dan kedatangan masyarakat Cina bertapak di negara ini sejak lebih 200 tahun dahulu.
"Selain tapak bersejarah yang menyaksikan pembangunan kaum Cina di negara ini, Jalan Petaling turut dikenali sebagai pusat pelancongan terkemuka dalam kalangan pelancong asing kerana budaya masyarakat Cina secara turun-temurun masih lagi diamalkan di kawasan ini.
"Sambutan kemerdekaan yang bakal diadakan di sini pada bulan Ogos nanti turut dapat memperingati usaha nenek moyang mereka mempertahankan budaya dan warisan, sekali gus menghargai jasa mereka dalam pembangunan sosio ekonomi negara," katanya.
Chong berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur di Jalan Petaling, hari ini.
Chong berkata usaha badan bukan kerajaan serta penduduk Cina di sekitar Jalan Petaling mengekalkan sosiobudayanya sejak sekian lama, tidak memadai jika tiada sokongan daripada kerajaan.
"Agensi berkaitan seperti Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur harus memberi tumpuan dari segi pembangunan fasiliti di sekitar Jalan Petaling bagi meningkatkan industri pelancongan sekali gus memantapkan ekonomi negara," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur Datuk Ang Say Tee berkata pelbagai aktiviti akan diadakan di sekitar Jalan Petaling sepanjang bulan kemerdekaan pada Ogos tahun ini.
"Aktiviti-aktiviti yang dijalankan bukan sahaja terbuka kepada penyertaan masyarakat Cina sahaja tetapi juga turut dibuka kepada pengunjung pelbagai kaum dan pelancong asing bagi memberi pendedahan tentang sejarah Jalan Petaling sempena sambutan Bulan Kemerdekaan," katanya.
Katanya Jalan Petaling turut dijadikan sebagai destinasi bersejarah yang telah menarik ramai pengkaji-pengkaji sejarah masyarakat Cina dari dalam dan luar negara.
"Jalan Petaling bukan sahaja sebagai syurga membeli-belah buat pelancong-pelancong asing malah ada dalam kalangan mereka datang berkunjung semata-mata mahu mempelajari sejarah pembangunan ibu kota dan budaya masyarakat Cina di negara ini.
"Hal ini kerana banyak bangunan-bangunan bersejarah seperti tokong-tokong Cina dan pasar yang berusia lebih 100 tahun turut dibina yang menarik mereka datang untuk berkunjung ke kawasan Jalan Petaling," katanya.
-- BERNAMA
#Datuk Chong Sin Woon #Jalan Petaling #MCA #Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-60
;