Jalan Melekun-Mujong Kapit runtuh, lencongan sementara siap dibina
Nuzuluddin Abdul Razak
Februari 3, 2021 12:09 MYT
Februari 3, 2021 12:09 MYT
KAPIT: Satu jalan lencongan sementara siap dibina bagi melancarkan perjalanan penduduk Kapit yang terjejas akibat tanah runtuh di Jalan Melekun-Mujong pada Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kapit, Erwandy Tugor berkata, jalan lencongan sementara satu hala itu dibina sepanjang 70 meter selain sudah boleh dilalui kenderaan.
Jelasnya, pada masa ini, pihak kontraktor Cahya Mata Sarawak (CMS) Berhad giat melakukan kerja-kerja pengukuhan jalan yang runtuh bagi memastikan keselamatan pengguna.
"Setakat ini, laluan lencongan satu hala dibina sepanjang 70 meter selain boleh digunakan. Bagaimanapun, memandangkan daerah Kapit kini dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), laluan keluar masuk akan dipantau dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.
Semalam, laluan di kilometer 1, Jalan Melekun-Mujong disedari runtuh oleh penduduk tempatan ketika melalui laluan itu kira-kira pukul 6 pagi.
Mengulas mengenai kejadian itu, Erwandy tidak menolak kemungkinan runtuhan jalan itu disebabkan kelembapan tanah ekoran hujan berterusan sepanjang malam Isnin.
"Kami juga mendapat maklumat terdapat dua penduduk yang terlibat kemalangan akibat runtuhan itu namun mereka tidak mengalami kecederaan parah dan dibenarkan pulang kerumah selepas mendapat rawatan di Hospital Kapit," katanya.
#Jalan Melekun-Mujong
#Jalan runtuh Kapit
#Jalan lencongan sementara
#Erwandy Tugor
#Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kapit
#Sarawak
#jalan runtuh
#Cahya Mata Sarawak