Jalan Macalister siap dibaiki, masih ditutup
Astro Awani
Jun 20, 2013 13:07 MYT
Jun 20, 2013 13:07 MYT
Sebahagian Jalan Macalister di Pulau Pinang yang rosak akibat runtuhan konkrit penebat kilat di jalan itu sudah siap dibaik pulih sepenuhnya pagi ini.
Bagaimanapun jalan sepanjang kira-kira 100 meter itu masih belum dibuka kepada orang ramai kerana kerja-kerja pembersihan di Menara Umno masih belum disiapkan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang meninjau di lokasi kejadian runtuhan itu berkata, jalan raya itu sepatutnya dibuka kepada orang ramai hari ini selepas semua kerja-kerja siap dilakukan.
Beliau meminta pihak JKP Sdn Bhd menyelesaikan kerja-kerja pembersihan secepat mungkin bagi membolehkan jalan itu dibuka kepada orang ramai sebagaimana yang dijanjikannya sebelum ini.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif JKP Sdn Bhd,Datuk Adzmi Ariffin memaklumkan kerja-kerja pembersihan sisa konkrit di bangunan itu telah pun disiapkan namun hanya tinggal kerja-kerja mengalihkan gondola dan sekurangnya 1 peratus sisa ‘metal cladding” yang masih berada di atas bangunan dan ia akan disiapkan hari ini.
Bahagian jalan yang rosak teruk itu membentuk kawah sedalam lima meter selepas pasukan penyelamat terpaksa mengorek tanah di situ bagi mengeluarkan mangsa yang tertimbus akibat runtuhan penebat kilat tersebut.
Seorang peniaga, Lim Chin Aik, yang memandu kereta jenis Honda City dipercayai tertimbus selepas dihempap runtuhan konkrit penebat kilat yang jatuh dari atas Menara Umno Pulau Pinang akibat angin kencang.
Dalam kejadian ribut dan angin kencang yang melanda Pulau Pinang pada jam 6.45 petang Khamis minggu lalu, dua orang terkorban manakala enam cedera dan merosakkan beberapa kenderaan lain.