Jalan Maarof ditutup pagi Ahad untuk kerja tampalan - DBKL

Astro Awani
Mei 2, 2021 10:22 MYT
Kejadian hujan lebat serta ribut petir sejak petang Sabtu mengakibatkan mendapan dan kerosakan teruk di Jalan Maarof, Bangsar. - Facebook Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR: Jalan Maarof di Bangsar, di sini, ditutup secara keseluruhan kepada lalu lintas sehingga jam 5 pagi Ahad untuk membolehkan kerja-kerja tampalan sementara jalan yang rosak dilaksanakan.
Dalam satu kenyataan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan, dua lorong (selepas Public Bank ke lampu isyarat) telah dibuka semula kepada kenderaan awam sebaik sahaja kerja selesai dilaksanakan.
"Manakala satu lorong akan ditutup selama dua minggu bagi kerja-kerja perobohan hentian bas untuk membolehkan pelaksanaan pembaikan longkang dan membaiki jalan.
"Kerosakan berlaku pada lewat malam semalam akibat hujan lebat yang telah menyebabkan berlakunya mendapan di permukaan jalan," jelas kenyataan di dalam catatan terbaharu di akaun Facebook DBKL pada Ahad.
BACA: Hujan lebat, tanah mendap di Jalan Maarof
Sumber Facebook dbkl2u
Kejadian hujan lebat serta ribut petir sejak petang Sabtu mengakibatkan mendapan dan kerosakan teruk di Jalan Maarof, Bangsar.
Menerusi video yang dikongsikan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, kerosakan dan mendapan sepanjang kira-kira 200 hingga 300 meter itu menyebabkan jalan tersebut ditutup buat sementara waktu.
Sebagai rekod, sebelum ini jalan tersebut pernah menyaksikan kejadian mendapan di tengah jalan raya pada Mei, 2015 lalu.
#DBKL #Jalan Maarof #Bangsar #Jalan rosak #mendapan #jalan ditutup #turapan sementara #Fahmi Fadzil #hujan lebat #pembaikan longkang
;