Jalan Kenyir-Felda Aring ditutup akibat tanah runtuh
Nur Fazlizai Ali
Januari 6, 2021 18:17 MYT
Januari 6, 2021 18:17 MYT
HULU TERENGGANU: Hujan lebat sejak beberapa hari lalu menyebabkan kejadian tanah runtuh di Kilometer 74.8 hingga KM75 Jalan Kenyir-Felda Aring di sini, pada Rabu.
Kejadian tanah runtuh di bahagian tepi jalan berkenaan mengakibatkan risiko mendapan di kawasan sepanjang 200 meter di laluan terbabit.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata berikutan itu, jalan berkenaan terpaksa ditutup bagi semua jenis kenderaan bermula jam 12.15 tengah hari.
"Hujan lebat yang melanda selain aliran air yang deras menyebabkan berlaku tanah runtuh dan jalan berkenaan terpaksa ditutup kepada semua kenderaan pada jam 12.15 tengah hari Rabu.
"Susulan itu orang ramai dinasihatkan menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Kuala Krai, Kelantan (Jalan Kota Bharu-Gua Musang) bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.
Katanya pemasangan tanda amaran bagi makluman tanah runtuh telah dilaksanakan oleh pihak syarikat konsesi.
#banjir terengganu
#tanah runtuh
#Jalan Kenyir-Felda Aring
#Hulu Terengganu
#hujan lebat
#mendapan jalan
#jalan ditutup
#semua kenderaan
#Gua Musang