Jalan ke Bukit Fraser ditutup akibat tanah runtuh
Astro Awani
Disember 21, 2020 17:34 MYT
Disember 21, 2020 17:34 MYT
RAUB: Jalan Tranum-Bukit Fraser di kawasan Bukit Telaga di sini, terpaksa ditutup akibat kejadian tanah runtuh yang menyebabkan laluan berkenaan terhalang pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, tanah runtuh berkenaan yang turut membawa bersama beberapa bongkah batu besar menutup kawasan jalan sepanjang 12 meter dan ketinggiannya dianggarkan 10 meter.
Kejadian itu bagaimanapun tidak menyebabkan kemalangan jiwa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Raub, Penolong Kanan Penguasa Bomba Khairul Anuar Yaakub, berkata berdasarkan penilaian awal, kerja pembersihan dijangka mengambil masa selama seminggu untuk diselesaikan.
"Jangkaan kerja akan bermula pada petang ini dan dijangka kemungkinan akan paling lama kita anggarkan lebih kurang dalam satu minggu.
"Buat masa sekarang jalan antara The Gap ke Bukit Fraser ditutup bagi semua lalu lintas," katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Raub memaklumkan, dua hari lalu kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang berlaku di kawasan sama.
"Kerja-kerja pembersihan telah dilakukan tetapi dengan kejadian pagi tadi, jalan tersebut ditutup kepada semua kenderaan.
"Orang ramai bagaimanapun masih boleh menggunakan laluan dari Kuala Kubu untuk ke Bukit Fraser," kata kenyataan itu.