Jalan Jeli menghala Gerik dibuka semula
Muhafandi Muhamad
Januari 27, 2017 18:01 MYT
Januari 27, 2017 18:01 MYT
Laluan di Batu 14 Jalan Jeli menghala ke Gerik, Lebuhraya Timur Barat yang ditutup pagi tadi akibat tanah runtuh kembali di buka jam 3 petang tadi.
Kesesakan berlaku sejauh 7 kilometer (km) apabila jalan utama yang menghubungkan Kelantan, Perak dan Kedah itu mengalami kejadian runtuhan tanah.
Kejadian runtuhan tanah itu berlaku pagi tadi sekitar jam 11 pagi dan jalan berkenaan kini boleh digunakan apabila pihak Roadcare (M) SDN. BHD. menjalankan kerja-kerja pemulihan.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Jeli Asisten Supritendan Polis Nordin Ahmad berkata, ketika kejadian berlaku, tiada sebarang kenderaan melalui kawasan berkenaan.
Nordin memaklumkan, kedua-kedua lorong Lebuh Raya Timur Barat berkenaan ditutup kepada semua laluan kenderaan untuk kerja-kerja pembersihan.
Sementara itu, keadaan banjir di Kelantan kembali mencatatkan jumlah peningkatan mangsa banjir yang dipindahkan.
Sehingga jam 5 petang tadi, jumlah mangsa yang dipindahkan mencatatkan 997 orang melibatkan 267 keluarga yang ditempatkan di 14 buah pusat pemindahan.
Peningkatan kembali mangsa banjir yang dipindahkan disebabkan kenaikan paras air sungai utama kelantan dengan jajahan Jeli mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 642 orang diikuti Kuala Krai seramai 237 orang mangsa.
Lima jajahan di Kelantan yang masih terlibat dengan banjir adalah Jeli, Kuala Krai, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Gua Musang.
Bacaan paras sungai utama Kelantan di Dabong, Tangga Krai dan Jambatan Guilemard mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya manakala Sungai Golok di Rantau Panjang turut mencatatkan bacaan paras bahaya.
Pada masa ini, laluan masuk ke Kelantan melalui Gua Musang ke Kota Bharu, Besut ke Kota Bharu dan Gerik ke Kota Bharu boleh dilalui semua kenderaan.
Namun, Jalan Gua Musang – Dabong - Jelawang masih ditutup kepada semua kenderaan kerana Jambatan Pulau Setelu masih ditenggelami air.