Jalan Gua Musang-Lojing akan dibuka selorong sebelum 28 Mac
Muhafandi Muhamad
Mac 19, 2025 09:20 MYT
Mac 19, 2025 09:20 MYT
Kejadian lubang benam ketiga itu berlaku pada pukul 1.30 pagi Sabtu, dengan jarak tujuh meter daripada lubang benam kedua. - Astro AWANI
GUA MUSANG: Kejadian tiga lubang benam yang berlaku di Kilometer 78, Jalan Gua Musang-Lojing berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke, di sini sedang dibaiki dan akan dibuka selorong sebelum 28 Mac ini bagi memudahkan perantau pulang beraya.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerja-kerja pembaikan telah mencapai 50 peratus dan akan dibuka satu lorong kepada kenderaan ringan seperti kereta dan motosikal.
Menurut Ahmad, sebanyak RM2 juta peruntukan digunakan bagi membaiki kerosakan akibat kejadian lubang benam dan banjir lumpur di laluan berkenaan.
"Sebelum raya kita boleh buka satu lorong dan lepas raya kita buka dua lorong. Kita sedang membina culvet, sedang dalam pembinaan. Kerja-kerja dalam 50 peratus siap.
"Jadi ini lubang ketiga di tempat tu. Sebelum 28hb lori tak boleh lalu, kenderaan kereta dan motosikal boleh. Bas tidak digalakkan," katanya.
Ahmad berkata demikian selepas meninjau Projek Menaik taraf Fasiliti Pembiakan Spesis Mangsa untuk Harimau Malaya di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL), milik Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Gua Musang, Kelantan.
Ahmad berkata, laluan berkenaan masih ditutup sepenuhnya dan pengguna boleh menggunakan laluan alternatif Gua Musang-Sungai Koyan-Ringlet-Tapah-Ipoh- Cameron Highland.
Terdahulu, kejadian lubang benam ketiga dikesan berlaku di Kilometer 78 Jalan Gua Musang-Lojing berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke di sini awal pagi 15 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, kejadian lubang benam ketiga itu berlaku pada pukul 1.30 pagi Sabtu, dengan jarak tujuh meter daripada lubang benam kedua.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, projek naik taraf Fasiliti Pembiakan Spesies Mangsa Untuk Harimau Malaya yang menelan kos RM3.32 juta di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) di Gua Musang dijangka siap Januari tahun depan.
Katanya, projek terbabit merupakan salah satu usaha Kerajaan Pusat dalam membantu menangani isu konflik manusia dan haiwan liar.