Jalan 'glow in the dark' pertama Malaysia di Hulu Langat

Astro Awani
November 16, 2023 17:55 MYT
Projek perintis jalan 'glow in the dark' dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Langat di Jalan Sungai Lalang (B19), Hulu Langat. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Projek jalan yang dicat menggunakan teknologi 'glow in the dark' pertama di negara ini adalah di Jalan Sungai Lalang (B19) di Hulu Langat, dekat sini.
Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan berkata, projek perintis dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Langat itu membolehkan pemanduan menjadi lebih selamat dengan bantuan pantulan cahaya pada pembahagi jalan.
Mohd Sany berkata, teknologi menghasilkan pantulan cahaya daripada lampu kenderaan itu merupakan inovasi dalam kejuruteraan jalan.
"Dengan mengekalkan ciri pemantulan cahaya kuning dengan penggunaan High Intensity Prismatic Sheet, kaedah pencahayaan ditambah baik dengan ciri phosphorescence mengandungi elemen pigmen phosphors bagi mengeluarkan cahaya yang boleh dilihat selepas diberi tenaga.
"Sumber tenaga adalah sama ada dari cahaya matahari atau lampu kenderaan yang diserap, sebelum ianya bercahaya semula dan dapat dilihat pada waktu malam," katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Pada Rabu malam, beliau mengiringi Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi melawat lokasi berkenaan.
Mohd Sany turut, merakamkan ucapan terima kasih kerana memilih Hulu Langat sebagai lokasi perintis projek berkenaan.
Dalam pada itu, RTM melaporkan, Alexander berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) akan mengkaji dan menilai lanjut projek itu untuk dilaksanakan dengan lebih menyeluruh kerana ia melibatkan kos yang tinggi.
#jalan glow in the dark #Hulu Langat #jalan bercahaya #Kementerian Kerja Raya
;