Jalan dari Woodlands penat? Janji dapat jumpa anak

Siti Nur Aqilla Omar
April 1, 2022 10:30 MYT
Ramai antara mereka mengakui tidak boleh melelapkan mata malam tadi kerana terlalu teruja dan rindu hendak berjumpa keluarga yang telah lama ditinggalkan. - Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Tempoh dua tahun adalah perkara paling sukar ditempuhi warga Malaysia yang bekerja di Singapura.
Ini kerana mereka terpaksa berjauhan dengan keluarga susulan penutupan sempadan negara akibat pendemik COVID-19 sejak Mac 2020.
Penantian satu penyeksaan, namun penantian mengenai pembukaan sempadan amat dinantikan.
Hari ini adalah saat yang ditunggu-tunggu.
Malah ramai antara mereka mengakui tidak boleh melelapkan mata malam tadi kerana terlalu teruja dan rindu hendak berjumpa keluarga yang telah lama ditinggalkan.
Perasaan itu dikongsi pekerja sektor perkhidmatan Mohd Seturan Habullah yang berjalan kaki pulang ke tanah air seawal jam 5.30 pagi.
Rentas Jambatan Endemik
"Saya teruja nak balik sebab sempadan sudah dibuka. Teringat anak tapi terpaksa berjauhan akibat kerja.
"Apabila sempadan dibuka, saya beria-ia nak balik, tapi apabila tiba, ada masalah pada 'autopass' saya.
"Saya nak tengok keluarga saya juga, jadi saya berjalan kali tunggu bas lama sangat. Saya jalan kaki dari Woodlands, pada jam 5.30 pagi saya sampai.
"Jalan kaki penat tidak mengapa, janji dapat dapat jumpa anak-anak.
"Dah nak puasa jadi malam ini saya nak meraikan makan bersama anak-anak saya. Setiap hari saya tidak terlepas membuat panggilan video bersama mereka," katanya.
Pasangan suami isteri T. Jothi dan R. Kuna turut mengambil kesempatan pulang ke tanah air kerana mahu melihat kediaman dan kenderaan yang telah lama ditinggal tanpa diselenggara.
"Memang sedih apabila mereka kata dua minggu sudah jadi dua tahun.
"Dengar cerita sedih, ada yang meninggal dunia, sakit tidak boleh masuk, tiada kebebasan masuk, memang gembira sangat," katanya.
Kebanyakan pengembara ini melahirkan rasa syukur dan berharap sempadan kedua negara tidak lagi ditutup.
"Kalau teringat balik memang sebak, saya terpaksa tinggalkan anak saya pada usia dua bulan lebih.
"Setiap hari suami saya beri motivasi kepada saya, minta saya bersabar. Kalau teringat kembali sedih sangat-sangat.
"Syukur Alhamdulillah. Saya sanggup berulang-alik, hadap kesesakan lalu lintas, bangun dan tidur awal kerana kita pilih mencari rezeki di sana.
"Harap sempadan tidak ditutup lagi," kata pekerja sektor swasta, Sharifah Noor Areej Syed Mohammad.
Untuk rekod, lebih 400,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura berada di republik itu.
Sebelum ini mereka berulang alik setiap hari melalui Tambak Johor dan Link Kedua.
#Sempadan Negara #Pekerja #keluarga #teruja
;