Jalan Bakun: Lapor lori bawa lebih muatan guna MYJalan
Bernama
September 9, 2023 16:53 MYT
September 9, 2023 16:53 MYT
BINTULU: Penduduk setempat dan pengguna Jalan Simpang Bakun-Empangan Bakun (FT803) diminta untuk melaporkan tindakan mana-mana pemandu lori yang membawa muatan berlebihan menggunakan laluan tersebut.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata mereka boleh membuat laporan tersebut menggunakan aplikasi MYJalan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil ke atas pemandu lori terlibat.
"Mereka digalakkan merakamkan gambar perbuatan yang menyalahi peraturan ini dan melaporkannya menerusi aplikasi MYJalan supaya kita dapat mengambil tindakan sewajarnya dengan segera," katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau hari ini.
Nanta hari ini meninjau keadaan jalan tersebut yang dilaporkan mengalami kerosakan disebabkan banyak lori yang lebih muatan menggunakannya dengan kerap.
Beliau berkata lori tersebut turut dilaporkan sengaja melanggar peraturan, malah ada yang bertindak memotong gantri yang dipasang bagi menghalang mereka menggunakan laluan berkenaan.
Menurutnya Kementerian Kerja Raya (KKR) secara keseluruhan telah meluluskan peruntukan RM7.5 juta untuk membaiki turapan jalan yang rosak teruk berpunca daripada kelemahan struktur permukaan jalan.
"Peruntukan itu antara lain melibatkan pembaikan segera kerosakan jalan yang kritikal dan pemasangan gantri serta papan tanda jalan had berat muatan yang dibenarkan.
"KKR juga merancang untuk melebarkan sebahagian jalan membabitkan laluan memotong di lokasi sesuai untuk keselesaan pengguna, bergantung kepada kelulusan dalam Belanjawan 2024," katanya.
Nanta berkata kementerian itu memerlukan RM30 juta untuk menaik taraf laluan dan beliau memberi jaminan akan berusaha mendapatkan peruntukan berkenaan demi keselesaan serta keselamatan pengguna.
Menerusi Kempen #MYJalan KKR yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Ogos lepas, satu tindakan menyeluruh sedang dilaksanakan melibatkan Kementerian Pengangkutan untuk mencari penyelesaian jangka panjang dan memastikan isu kerosakan jalan disebabkan kenderaan lebih muatan dapat dikurangkan.
-- BERNAMA