Jalan baharu ICQS Bukit Kayu Hitam-Sadao direalisasi dalam masa terdekat
Sinar Harian
November 28, 2023 12:20 MYT
November 28, 2023 12:20 MYT
BUKIT KAYU HITAM: Inisiatif jalan baharu yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam ke ICQS Sadao, Thailand dekat sini dijangka direalisasikan dalam masa terdekat.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan Malaysia dan Thailand secara dasarnya bersetuju berhubung jajaran reka bentuk dan isu teknikal yang berkaitan agar projek itu dapat dilaksanakan bagi memastikan tahap kesalinghubungan antara kedua-dua negara ditingkatkan.
Menurutnya, pada masa yang sama, jalan baharu itu juga dijangka dapat meningkatkan kegiatan ekonomi kedua-dua negara.
"Jaringan jalan penghubung ini terdiri daripada satu jalan utama enam lorong dua hala (K3-3) sepanjang 900 meter dengan piawaian U5, dan Jalan Khidmat sepanjang 300 meter.
"Projek jalan ini juga melibatkan pengambilan tanah, perobohan dan pembinaan baharu blok asrama Kem Rejimen Sempadan (5RS) serta beberapa struktur keselamatan lain seperti pos kawalan akhir dan pagar keselamatan yang terkesan daripada jajaran jalan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Alexander berkata, jalan baharu itu dijangka direalisasikan dalam jangka masa yang terdekat berikutan lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke ICQS Sadao pada Isnin atas jemputan rasmi Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin.
Jelasnya, Kementerian Kerja Raya yakin dengan terbinanya jajaran baharu itu, keselesaan dan keselamatan pengguna dapat ditingkatkan selaras dengan aspirasi Kempen MyJalan. - Sinar Harian