JAKOA, Tok Batin perlu peka orang asing masuk kampung

Aida Aziz
April 4, 2021 17:07 MYT
Saarani mengulas isu seorang aktivis Rusia yang dilaporkan mengutip derma tanpa kebenaran dan menginap di Kampung Orang Asli Pos Woh di Tapah baru-baru ini. - Astro AWANI
SUNGAI SIPUT: Kerajaan Perak meminta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) negeri agar lebih peka dan tidak sewenang-wenangnya membenarkan orang asing memasuki kampung mereka, khususnya ketika situasi pandemik COVID-19.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, ia susulan boleh menimbulkan risiko wabak kepada penduduk di satu-satu perkampungan berkenaan, tambahan pula yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Saarani berkata demikian sebagai mengulas isu seorang aktivis Rusia yang dilaporkan mengutip derma tanpa kebenaran dan menginap di Kampung Orang Asli Pos Woh di Tapah baru-baru ini.
"Ia (tidak patuh SOP) adalah di bawah bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN). Sesiapa sahaja tidak kira daripada Rusia atau mana-mana pun, jika mereka didapati tidak patuh maka kita boleh melaporkannya kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan.
"Kita tidak tahu dia datang dari mana dan virus apa yang (berkemungkinan) dibawa. Jadi masyarakat orang asli melalui JAKOA atau Tok Batin perlu peka perkara ini kerana suasana sekarang tidak mengizinkan. Individu tidak dikenali sejarahnya tiba-tiba masuk ke dalam kampung dalam keadaan tidak patuh SOP, itu adalah kesalahan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Graduasi 2020 SMK Bawong, di sini pada Ahad.
Justeru beliau menasihati pihak yang bertanggungjawab memantau kemasukan pengunjung khususnya orang luar ke perkampungan orang asli bagi sebarang penganjuran aktiviti atau progam.
Terdahulu media melaporkan, aktivis Rusia yang dilaporkan mengutip derma tanpa kebenaran dan menginap di Kampung Orang Asli Pos Woh di Tapah telah meninggalkan perkampungan itu pada 14 Mac lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata, aktivis berkenaan, Valeriya Ashtashova dan anak lelakinya keluar dari kampung itu selepas dinasihatkan oleh JAKOA.
JAKOA sebelum ini mengeluarkan surat kelulusan kepada Valeriya untuk menjalankan Program Kelas Bahasa Inggeris di Kampung Orang Asli Pos Woh pada 14 Disember lalu.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dilaporkan berkata, program itu bagaimanapun dibatalkan selepas JAKOA menerima maklumat yang aktivis itu tidak mematuhi syarat yang ditetapkan.
#JAKOA #Orang Asli #orang asing #pandemik #COVID-19 #jangkitan #Saarani Mohamad
;