Jakoa tidak terlibat dalam penyediaan ucapan kempen di Semenyih - KP Jakoa
Astro Awani
Februari 24, 2019 21:36 MYT
Februari 24, 2019 21:36 MYT
Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menolak dakwaan yang mengaitkan seorang bekas pegawainya bertindak menulis sebahagian teks ucapan seorang Tok Batin, sekali gus menggambarkan seolah-olah sokongan komuniti Orang Asli di situ ditentukan agensi itu.
Ketua Pengarahnya Datuk Ajis Sitin berkata, pihaknya langsung tidak terlibat dalam program berkempen Pakatan Harapan (PH) pada Ahad, malah tidak dimaklumkan mengenai gerak kerja kempen itu.
“Pertama sekali, di Semenyih ini penglibatan Jakoa sangat minimum, untuk program tersebut
Jakoa di peringkat ibu pejabat, daerah, dan negeri tidak dimaklumkan dan tiada penglibatan Jakoa dalam program tersebut,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad malam.
Terdahulu, Tok Batin (Ketua Kampung Orang Asli) di Kampung Sungai Lalang Baru di sini, Aleh Abdullah, 53, mendakwa teks ucapan yang dibacanya sewaktu program berkempen Pakatan Harapan (PH) bukan tulisannya sendiri.
Menurut Aleh, sekurang-kurangnya separuh daripada teks itu ditulis oleh seorang bekas pegawai Jakoa dan meminta beliau membacakan ucapan itu.