JAKOA peruntuk lebih RM200,000 untuk bantuan MTL

Bernama
Disember 1, 2024 10:00 MYT
Sapiah berkata, JAKOA bersama agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat bertindak selaku pangkalan hadapan, bagi penyediaan bantuan MTL. - Gambar fail/BERNAMA
GUA MUSANG: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah memperuntukkan sejumlah RM246,600 untuk bekalan makanan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dalam memastikan penduduk Orang Asli di kawasan berisiko dapat diberi bantuan segera.
Ketua Pengarah JAKOA Datuk Sapiah Mohd Nor berkata ketika ini sebanyak 1,644 pembekalan bakul makanan telah dibuat, malah pihak vendor yang dilantik telah bersiap siaga dan sentiasa di dalam mod bersedia untuk melakukan penghantaran bantuan.
Beliau berkata jika ada keperluan bakul makanan, JAKOA akan terus mengarahkan pihak kontraktor menghantar bantuan ke kampung-kampung yang terlibat dengan banjir ketika ini.
"Makanan yang disediakan di dalam bakul makanan ialah bahan keperluan utama seperti beras, kicap, minyak masak, gula, garam, kopi, biskut dan makanan dalam tin," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata JAKOA bersama agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertindak selaku pangkalan hadapan, bagi penyediaan bantuan MTL.
"Sekiranya berlaku kesukaran oleh agensi terbabit untuk menyalurkan bantuan ke kampung-kampung Orang Asli, pihak JAKOA akan memberikan bantuan dan sokongan penuh bagi memenuhi tujuan tersebut.
"Bagi kawasan pedalaman yang dihuni masyarakat Orang Asli pula, JAKOA bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi urusan penghantaran bantuan menggunakan helikopter ke perkampungan yang tidak dapat diakses akibat terputus jalan hubungan ketika musim tengkujuh," katanya.
-- BERNAMA
#Orang Asli #monsun timur laut #JAKOA #banjir
;