Jakoa pandang serius status 'Islam' pada kad pengenalan Orang Asli
Bernama
Julai 22, 2019 23:53 MYT
Julai 22, 2019 23:53 MYT
Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) memandang serius dakwaan masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Papan, Gerik yang memiliki status 'Islam' pada kad pengenalan mereka meskipun tidak menganut agama itu.
Ketua Pengarahnya Prof Dr Juli Edo dalam kenyataan hari ini berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana rakyat negara ini mempunyai hak atau kebebasan menganut mana-mana agama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Jakoa memandang serius laporan mengenai masyarakat Orang Asli dari Kampung Sungai Papan, Gerik yang mendakwa kad pengenalan mereka berstatus Islam walaupun mereka sebenarnya tidak mendaftar atau mengucap kalimah syahadah sebagai bukti mereka telah menganut agama Islam.
"Kita perlu memelihara hak individu terutamanya berkaitan masyarakat Orang Asli kerana mereka merupakan kaum minoriti di negara ini dan kebebasan mereka perlu dihormati," katanya.
Sehubungan itu, Juli berkata pihaknya memohon agar pihak berkaitan mengambil inisiatif menyelesaikan segera isu tersebut dan berharap mereka lebih peka terutamanya sewaktu melakukan pendaftaran kad pengenalan bagi memastikan perkara sama tidak berulang pada masa hadapan.
-- BERNAMA
#Jabatan Kemajuan Orang Asli
#JAKOA
#Kampung Sungai Papan
#Orang Asli
#Prof Dr Juli Edo
#status Islam