JAKOA komited tingkatkan kesedaran vaksinasi
Bernama
Jun 8, 2021 04:00 MYT
Jun 8, 2021 04:00 MYT
KUALA BERANG: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan memainkan peranan lebih besar bagi memastikan masyarakat Orang Asli turut menyertai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata kempen dengan lebih agresif akan dilakukan JAKOA bagi meningkatkan kesedaran Orang Asli tentang bahaya COVID-19 serta pentingnya pengambilan vaksin bagi mencegah jangkitan itu.
"'Setakat ini jumlah mereka yang mendaftar untuk pengambilan vaksin COVID-19 terlalu rendah.
JAKOA komited untuk meningkatkan kesedaran dan bergerak bersama untuk menghentikan wabak COVID-19," katanya ketika melawat Perkampungan Orang Asli Sungai Berua, di sini pada Selasa.
Turut hadir pada lawatan itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu.
Menurut Abdul Rahman JAKOA telah mengedarkan 79,041 borang pendaftaran dan daripada jumlah itu seramai 15,307 orang telah menyatakan persetujuan mereka untuk menerima suntikan vaksin setakat ini.
"Jumlah yang bersetuju menerima vaksin menunjukkan bahawa kesedaran Orang Asli untuk divaksinasi perlu dipertingkatkan dengan lebih agresif lagi," katanya.
Untuk rekod, seramai 3,018 Orang Asli telah menerima dos pertama vaksin dan sejumlah 1,330 individu telah menerima dos vaksin kedua.
Sehubungan itu, beliau berkata kementerian bersama JAKOA dan pihak berkaitan akan memperluaskan program penerangan mengenai kepentingan vaksin kepada Orang Asli melalui pelbagai kaedah termasuk secara dalam talian.
"Mungkin mereka ini tidak mendapat penjelasan yang sebenar. Untuk itu, kementerian akan menyusun kembali strategi dan program dengan agensi-agensi berkaitan," katanya.
-- BERNAMA
#JAKOA
#Jabatan Kemajuan Orang Asli
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
#vaksin
#COVID-19
#Abdul Rahman Mohamad