Jakoa bina jalan alternatif untuk masyarakat Pos Balar

Bernama
Disember 28, 2022 13:23 MYT
Tinjauan dari udara perkampungan masyarakat Orang Asli daripada suku Temiar di Pos Balar yang berada jauh di pedalaman dan di kawasan berbukit. - Gambar/ Bernama
GUA MUSANG: Jabatan Kemajuan Masyarakat Orang Asli (Jakoa) akan membina jalan alternatif untuk kemudahan lebih 1,000 masyarakat Orang Asli Pos Balar keluar ke bandar bagi melakukan urusan harian mereka.
Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Pengurusan Jakoa Saiful Zahlan Muhamad Azmi berkata keputusan tersebut diambil sebagai langkah penyelesaian jangka masa pendek untuk mengatasi masalah penduduk Orang Asli di penempatan berkenaan yang terputus hubungan berikutan tanah runtuh selain struktur jalan raya yang rosak.
Katanya, perancangan tersebut akan melibatkan kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) selaku pelaksana projek jalan alternatif tersebut.
"Jakoa dalam perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kesedar untuk membaiki jalan terbabit namun bergantung pada keadaan cuaca.
"Selain itu, kami akan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan alternatif lain yang lebih cepat untuk membaik pulih tanah runtuh terbabit," katanya ketika ditemui pemberita semasa operasi menghantar bekalan bantuan makanan kepada masyarakat Orang Asli di Pos Balar, di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai sesi persekolahan yang akan bermula awal Januari tahun depan, Saiful Zahlan berkata pihaknya akan mendapatkan khidmat penerbangan ihsan daripada Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk membawa pelajar dari penempatan yang terputus hubungan akibat jalan rosak dan jambatan runtuh.
"Untuk rekod, seramai 90 pelajar dari Pos Gob akan meneruskan sesi persekolahan tahun depan.
"Daripada jumlah itu 12 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, 33 murid dari SK Kuala Betis dan 45 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Panggung Jaya," katanya.
-- BERNAMA
#Orang Asli #banjir #JAKOA #pos balar