Jakim tolak sebarang tindakan mengiktiraf golongan LGBT
Fareez Azman
Mac 10, 2019 18:07 MYT
Mac 10, 2019 18:07 MYT
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melahirkan rasa kesal akan tindakan sekumpulan peserta yang menyokong golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) dalam perarakan sempena Hari Wanita Antarabangsa di Ibu Negara pada Sabtu.
Dalam satu kenyataan oleh Ketua Pengarahnya Datuk Mohamad Nordin Ibrahim hari ini, Jakim turut menolak sebarang usaha mengiktiraf golongan itu di negara ini.
Katanya, Jakim senada dengan pendirian Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta kerajaan Malaysia mengenai isu terbabit.
"YAB Tun Dr Mahathir Mohamad yang jelas mengatakan bahawa Malaysia tidak boleh menerima sistem nilai yang diamalkan di negara barat iaitu LGBT dan perkahwinan sama jenis.
"Pendirian sama juga turut ditegaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang melarang sebarang usaha untuk mempromosikan LGBT di negara ini," menurut kenyataan itu.
Jelasnya lagi, sejak dahulu lagi budaya songsang seumpama itu tidak diterima di negara ini.
"Sejak dahulu lagi LGBT tidak diterima di negara kita. Jangan ada mana-mana pihak yang cuba mencemarkan imej Malaysia sebagai negara Islam.
"Demokrasi tidak bermaksud semua orang boleh buat apa yang disukainya, lebih-lebih lagi apa yang diperjuangkan bertentangan dengan undang-undang, ajaran agama, nilai dan norma masyarakat Malaysia," menurut kenyataan itu lagi.
Justeru Jakim juga komited dalam menangani dan membantu golongan yang terjebak dengan budaya songsang itu menerusi program pemulihan.
#Cuba
#Hari Wanita Antarabangsa
#iktiraf
#Islam
#JAKIM
#kerajaan
#LGBT
#Mahathir Mohamad
#Malaysia
#Media
#menteri
#nilai
#Perdana Menteri
#perkahwinan
#Perkarakan
#Songsang
#tolak