Jakim timbang kursus praperkahwinan secara dalam talian kepada OKU

Astro Awani
November 22, 2021 12:47 MYT
Antara inisiatif yang sedang dipertimbang seperti penggunaan paparan grafik, penyediaan jurubahasa isyarat, rakaman video ceramah serta animasi. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mempertimbang kelas kursus praperkahwinan Islam secara dalam talian sebagai memenuhi keperluan orang kurang upaya (OKU).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata pelaksanaan kursus praperkahwinan melalui mekanisme terbabit akan menggunakan penyampaian modul kursus yang lebih interaktif dan mesra OKU.
Menurutnya, beberapa sesi libat di peringkat Jakim, majlis agama Islam negeri dan jabatan agama Islam negeri akan diadakan dengan kementerian yang berkaitan dari semasa ke semasa sebelum ia dilaksanakan pada tahun hadapan.
"Antara inisiatif yang sedang dipertimbang seperti penggunaan paparan grafik, penyediaan jurubahasa isyarat, rakaman video ceramah serta animasi.
"Semua inisiatif ini selaras dengan kandungan modul bersepadu kursus praperkahwinan Islam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Che Alias Hamid (Pas-Kemaman) yang meminta kerajaan sama ada berhasrat mewujudkan inisiatif lebih proaktif menangani kekangan golongan OKU dalam menghadiri kursus praperkahwinan di Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, menjawab soalan asal Che Alias mengenai kerjasama rentas kementerian dilaksanakan bagi memastikan pelaksanaan Dasar Pemerkasaan OKU Rabbani, Ahmad Marzuk berkata, Jakim kini menggubal Pelan Tindakan OKU Muslim sebagai dukungan kepada Pelan Tindakan OKU Kebangsaan dan dasar sedia ada.
"Ia juga selaras dengan dasar sedia ada iaitu Dasar OKU Negara yang dibangunkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat," jelas Ahmad Marzuk.
Kerjasama rentas kementerian katanya, diadakan seawal perancangan Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya Muslim yang disediakan menerusi Persidangan Meja Bulat pada 5 hingga 6 Ogos 2020.
"Mesyuarat Penyelarasan Cadangan Pemerkasaan OKU bersama-sama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakatdan Jabatan Kebajikan Masyarakat turut diadakan pada 17 September 2020," katanya.
Katanya, penggubalan pelan itu adalah bukti keprihatinan kerajaan terhadap golongan OKU, sekali gus merupakan komitmen dalam usaha memastikan OKU mendapat kefahaman yang baik mengenai Islam, di samping masyarakat cakna terhadap keperluan OKU Muslim.
#praperkahwinan #OKU #kahwin Islam #modul khas
;