JAKIM tidak terima sebarang bukti babit nasab 'Mawla Amin'

Bernama
Februari 27, 2024 10:30 MYT
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak menerima sebarang bukti dokumen berhubung nasab 'Mawla Amin' seperti didakwa pihak tertentu. - Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak menerima sebarang bukti dokumen berhubung nasab 'Mawla Amin' seperti didakwa pihak tertentu.
Perkara itu dinyatakan JAKIM dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi Facebook rasmi jabatan itu hari ini.
"Susulan kenyataan dibuat pihak Nur Al Mustafa Malaysia dalam sidang media yang diadakan berhubung nasab 'Mawla Amin' bahawa mereka telah mengemukakan bukti dokumen berkaitan kepada JAKIM, dimaklumkan bahawa JAKIM tidak menerima sebarang dokumen sebagaimana yang dinyatakan," menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, seorang lelaki mendakwa warganegara Maghribi dan dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai 'Mawla Mohamed Amin al-Hassani' mengaku mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW.
Pada 22 Feb lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar mengingatkan masyarakat terutamanya umat Islam supaya tidak terlalu taasub kepada mana-mana individu, sebaliknya perlulah sentiasa berpegang kepada neraca ilmu dan fakta.
-- BERNAMA
#JAKIM #bukti #nasab Mawla Amin #Nur Al Mustafa Malaysia