Jakim sokong Johor guna tulisan Jawi - Mujahid

Bernama
September 3, 2019 08:42 MYT
Mujahid berkata, Jakim menyokong inisiatif Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menggunakan tulisan Jawi dalam urusan surat menyurat kerana ia dilihat dapat memartabatkan tulisan itu. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyokong inisiatif Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menggunakan tulisan Jawi dalam urusan surat menyurat kerana ia dilihat dapat memartabatkan tulisan itu.
Pelaksanaan inisiatif itu akan bermula 1 Januari tahun depan yang melibatkan JAINJ dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) serta urusan diperingkat pejabat kadi, sekolah-sekolah agama dan digunakan dalam teks-teks ucapan.
Mujahid berkata, di Jakim, bagi setiap program kira-kira 25 peratus daripada poster atau bahan-bahan berkaitan program menggunakan tulisan Jawi.
"Esok kita akan lancar satu program iaitu minggu Jawi dan setiap hari Jumaat, kita akan minta semua staf pakai tanda nama bertulisan jawi," katanya kepada media selepas merasmikan forum antarabangsa pertama mengenai 'Pemikiran Islam (I-FiT): Menggalakkan Maqasid Syariah Ke Arah Tadbir Urus yang Ehsan', di sini hari ini.
Mengenai forum hari ini, Mujahid berkata, program itu akan dijadikan acara tahunan bagi membincangkan prinsip Maqasid Syariah khususnya dalam kerangka Malaysia.
"Kita akan menggunakan platform ini untuk menyentuh isu-isu Islam semasa yang mana kita ambil juga pandangan-pandangan dari luar negara lalu kita jadikan ia sebagai prosiding yang kita ambil untuk kita baiki dasar-dasar yang kita sedang rangka,"katanya. - BERNAMA
BACA: Tulisan Jawi dalam urusan agama Islam di Johor bermula 2020
#Jabatan Agama Islam Negeri Johor #Jabatan Kemajuan Islam Malaysia #JAKIM #Johor #majlis agama islam negeri johor #tulisan jawi