JAKIM siasat pempengaruh cipta kandungan menyimpang daripada ajaran Islam
Bernama
Februari 28, 2025 17:00 MYT
Februari 28, 2025 17:00 MYT
Sirajuddin bercakap pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Kampung Angkat MADANI di Sekolah Kebangsaan Menora, Kampung Menora hari ini. - Foto Bernama
KUALA KANGSAR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menjalankan siasatan terhadap beberapa pempengaruh kerana disyaki mencipta kandungan yang menyimpang daripada ajaran Islam di media sosial.
Ringkasan AI
- JAKIM menjalankan siasatan terhadap beberapa pempengaruh yang disyaki mencipta kandungan menyimpang daripada ajaran Islam di media sosial untuk mencegah kekeliruan dalam masyarakat.
- JAKIM telah mewujudkan unit JAKIM Untuk Ummah (JUM) untuk memberi kefahaman kepada umat Islam mengenai pelbagai isu keagamaan di media sosial dan menjelaskan isu-isu sensitif.
- Program ini bertujuan meningkatkan pembangunan dan penjanaan ekonomi di Kampung Menora serta menarik minat belia untuk pulang dan menyumbang kepada komuniti setempat.
Ketua Pengarah JAKIM Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata siasatan berkenaan bagi mengumpul maklumat untuk mencegah berlakunya kekeliruan dalam masyarakat membabitkan hal keagamaan.
"Ramai (pempengaruh) telah dikenal pasti dan dipanggil kerana disyaki menyimpang jauh ataupun sesat. Cuma, kita tak buat liputan meluas, namun semua itu ada dalam pemantauan di peringkat JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri.
"Kita seru umat Islam supaya berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan perkara ini," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kampung Angkat MADANI JAKIM di Kampung Menora bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Menora di sini hari ini.
Sirajuddin berkata pihaknya juga telah mewujudkan JAKIM Untuk Ummah (JUM), sebuah unit berperanan dalam memberi kefahaman kepada umat Islam tentang pelbagai perkara melibatkan aspek keagamaan di media sosial.
"JUM ini kita wujudkan bagi menjelaskan sebarang isu yang menjadi persoalan dalam kalangan masyarakat terutama membabitkan hal-hal sensitif," katanya.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Sirajuddin berkata program Pelancaran Kampung Angkat MADANI JAKIM itu bertujuan meningkatkan pembangunan dan penjanaan ekonomi setempat di Kampung Menora.
"Kita akan bawa program-program yang mampu meningkat penjanaan ekonomi di sini bagi menarik semula minat belia untuk pulang ke kampung dan menabur bakti di sini.
"Perbincangan bersama beberapa pihak termasuk jawatankuasa kampung bagi memastikan perkara ini dapat direalisasikan sekali gus menyahut seruan Perdana Menteri supaya menyantuni masyarakat hingga peringkat akar umbi," katanya.
-- BERNAMA