JAKIM selaras teks khutbah Persekutuan elak campur tangan politik - Mohd Na'im
Bernama
Februari 25, 2025 19:13 MYT
Februari 25, 2025 19:13 MYT
Mohd Na'im berkata langkah itu juga bagi memastikan masjid hanya dijadikan tempat menyebarkan ajaran Islam yang sebenar. - Gambar fail/Bernama
IPOH: Langkah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyelaraskan penyampaian teks khutbah di masjid-masjid peringkat Persekutuan adalah untuk memastikan tiada campur tangan golongan politik dalam hal penyampaian ajaran Islam menerusi khutbah Jumaat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata langkah itu juga bagi memastikan masjid hanya dijadikan tempat menyebarkan ajaran Islam yang sebenar.
Bagaimanapun, beliau berkata bagi peringkat negeri, urusan teks khutbah, khatib dan penyampaian khutbah tertakluk kepada bidang kuasa negeri masing-masing.
"Contohnya, dalam konteks tauliah yang diberikan dan titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah supaya masjid tidak ada campur tangan politik dan hendaklah menyebarkan ajaran Islam yang sebenar, hal ini yang JAKIM ambil peranan untuk menyelaraskan (pada peringkat Persekutuan).
"Itu asasnya kenapa kebanyakan, hampir keseluruhan negeri memastikan sesiapa yang nak menyampaikan ceramah, dia perlu mendapatkan tauliah terlebih dahulu. Hal itu yang saya nak tekankan di sini, peranan yang dimainkan oleh JAKIM pada peringkat Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sekiranya terdapat ketetapan di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) terhadap pihak yang enggan menggunakan teks khutbah disediakan pihak berkuasa agama di dalam negara.
Terdahulu pada majlis hari ini, Sultan Nazrin bertitah perbuatan khatib yang enggan membaca teks khutbah yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Perak yang diperakukan oleh Jabatan Mufti, sebagai keterlaluan dan tidak boleh dibiarkan.
Sementara itu, Mufti Perak Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh berkata khutbah di Perak merangkumi panel penulis di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang dianggotai ahli ilmu termasuk pensyarah-pensyarah universiti, sebelum teks khutbah itu disahkan Jabatan Mufti Perak.
"Jabatan Mufti mewakili Tuanku (Sultan Nazrin), bermakna khutbahnya telah diperkenankan oleh Tuanku melalui mufti. Jadi, ia suatu pelanggaran etika (jika enggan membaca teks khutbah disediakan)," katanya.
Sebelum ini, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menggantung sementara tugas empat khatib masing-masing seorang di Parit Buntar dan Kuala Kangsar serta dua di Teluk Intan kerana disyaki menyampaikan khutbah Jumaat yang tidak disediakan jabatan itu.
Dalam isu berasingan, Mohd Na'im berkata Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 mungkin tidak sempat dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada persidangan Dewan Rakyat sesi kali ini.
"Jadi, kalau tak sempat untuk Rang Undang-Undang Mufti itu dibentangkan pada sidang ini, pada sidang yang akan datang insya-Allah bulan Jun, kita akan cuba bawa masuk (bentang) sekali lagi," katanya.
Justeru, Mohd Na'im berkata beliau akan menggunakan masa yang ada untuk melakukan banyak sesi pencerahan berkenaan rang undang-undang itu bersama pihak berkaitan bagi menjelaskan tujuan serta objektif RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024.
RUU berkenaan dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada Julai tahun lepas, antara lain untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengan mufti serta penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak.
-- BERNAMA