Jakim sedia khidmat kaunseling kepada mangsa banjir
Bernama
November 11, 2017 18:10 MYT
November 11, 2017 18:10 MYT
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memberikan khidmat kaunseling kepada mangsa banjir di negeri ini yang mengalami tekanan emosi ketika menghadapi musibah banjir.
Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan Jakim Datuk Zainal Abidin Jaafar berkata seramai 30 anggota Jakim yang bertauliah bersedia memberi khidmat nasihat rohani kepada mangsa yang tidak dapat menerima kenyataan akan situasi sukar yang mereka hadapi sejak banjir melanda di kediaman mereka Sabtu lepas.
"Jakim juga mempunyai 50 hingga 100 anggota yang turun padang sama ada di kawasan pulau atau seberang untuk membantu menyalurkan pelbagai bantuan sejak hari pertama musibah (banjir) di samping turut dibantu oleh beberapa agensi lain seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan juga Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bantuan banjir kepada 206 guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) menerusi Program Misi Bantuan Musibah Banjir Zon Utara yang turut disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) Datuk Shahbudin Yahya, di sini hari ini.
Selain itu, Jakim juga turut menyampaikan bantuan kewangan termasuk barangan keperluan asas kepada wakil-wakil beberapa buah masjid dan juga sekolah KAFA yang terjejas di sekitar Pulau Pinang dan juga Kedah Selatan (Sungai Petani dan Kulim).
Dalam pada itu, Shahbudin menyifatkan program anjuran Jakim itu sebagai program mensejahterakan mangsa-mangsa banjir yang rata-ratanya berada dalam keadaan yang tertekan dan terdesak.
"Dengan cara ini (kaunseling) iaitu melalui bantuan Jakim, guru-guru KAFA mahupun penggiat masjid, kita dapat menaikkan semangat dengan menasihati penduduk yang kebanyakannya mangsa banjir yang berada dalam keadaan sukar untuk menerima situasi ini dengan sabar dan tenang.
"Jadi, ini merupakan satu bentuk pembangunan rohani," kata Anggota Parlimen Tasek Gelugor itu.
Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air antara 0.2 dan satu meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak Sabtu lepas yang turut menumbangkan puluhan pokok.
Hingga kini, kejadian banjir yang dikatakan terburuk di negeri ini telah meragut tujuh nyawa.
-- BERNAMA