Jakim sedia bekerjasama dengan pempengaruh untuk memperkasa penyampaian maklumat sahih

Bernama
Februari 24, 2025 21:12 MYT
Sirajuddin berkata, inisiatif itu secara tidak langsung juga dapat memastikan pempengaruh dan penyedia kandungan media sosial lebih berhati-hati ketika menerbitkan atau mengulas sebarang isu. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedia bekerjasama dengan pempengaruh dan penyedia kandungan media sosial untuk menyampaikan maklumat sahih kepada masyarakat dan menjelaskan isu semasa yang tular.
Ketua Pengarahnya Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata inisiatif itu secara tidak langsung juga dapat memastikan pempengaruh dan penyedia kandungan media sosial lebih berhati-hati ketika menerbitkan atau mengulas sebarang isu khususnya berkaitan perkara sensitif di platform digital.
"Antara pendekatan awal kita ialah membuat podcast (audio siar) berjudul JUM Podcast, iaitu Jakim Untuk Ummah dengan apa sahaja isu dirasakan sesuai untuk dibuat podcast akan dilaksanakan.
"Kita berhasrat memanggil rakan penyedia kandungan (pempengaruh) untuk bersama-sama dan kita boleh menjelaskan jika ada isu menjadi sebarang persoalan dalam kalangan mereka atau masyarakat," katanya selepas Majlis Tea And Talk bersama rakan media di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya amat mengalu-alukan sekiranya pempengaruh atau penyedia kandungan dapat berhubung dengan Jakim sebelum mengulas sesuatu isu di platform media sosial.
"Antara perkara perlu diberi perhatian oleh penyedia kandungan ialah tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. Kalau boleh, sebelum membuat kandungan, tanya Jakim sepatah dua dan kita boleh memberi input sebenar supaya dia dapat menyampaikan perkara baik," katanya.
Sementara itu Sirajuddin berkata Jakim sudah merencana 10 program khusus bagi mengimarahkan penghayatan sepanjang Ramadan ini.
"Perancangan ini akan dilaksanakan dengan rakan strategik di peringkat Persekutuan atau negeri, sama ada menerusi agensi kerajaan atau pihak swasta," katanya.
-- BERNAMA
#JAKIM #pempengaruh #pencipta kandungan #kisah tular #ulas isu sensitif #Sirajuddin Suhaimee
;