Jakim sasar 400 siswazah hafiz menerusi program USIM-Darul Quran
Bernama
Mac 15, 2023 18:51 MYT
Mac 15, 2023 18:51 MYT
PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyasarkan untuk melahirkan 400 siswazah hafiz menerusi Program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah dengan Kepujian, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Darul Quran Jakim dalam tempoh tiga tahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata ia selaras dengan peranan Jakim untuk melahirkan generasi hafiz yang seimbang ilmu duniawi dan ukhrawi, bertepatan dengan agenda Membangun Malaysia MADANI.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan pemeteraian memorandum perjanjian (MoA) antara Jakim dan USIM bagi pelaksanaan program berkenaan, di sini hari ini.
Mohd Na'im berkata Jakim dan USIM pernah bekerjasama dalam program sama pada 2009 dan berjaya melahirkan 384 lepasan hafiz.
Beliau berkata MoA hari ini adalah untuk sesi akademik 2022/2023 hingga 2026/2027 dan merupakan penyambungan perjanjian antara kedua-dua institusi itu, memandangkan tempoh perjanjian sebelum ini telah tamat.
Katanya program berkenaan adalah platform untuk melahirkan pengamal Islam profesional yang menguasai bidang al-Quran dan Sunnah menerusi gabungan elemen tradisional serta kontemporari, selaras dengan keperluan pembangunan negara.
Beliau berkata nilai kebolehpasaran lepasan hafiz universiti awam bagi program terdahulu adalah pada tahap 86.8 peratus.
Justeru, katanya, program tersebut berimpak dalam menyediakan peluang pengajian kepada lepasan dalam bidang al-Quran tanpa perlu ke Timur Tengah, malah mereka telah mengisi pelbagai jawatan di agensi kerajaan dan swasta selain menerima pelbagai anugerah.
Darul Quran Jakim, yang terletak di Kuala Kubu Bharu, Selangor, ditubuhkan pada 1966 dan berperanan sebagai sebuah institusi pendidikan tahfiz; pusat rujukan pengajian tahfiz al-Quran dan Qiraat; melaksanakan latihan dan kompetensi pensyarah bidang tahfiz serta menjalankan kajian dan penyelidikan bidang pengajian tahfiz di negara ini.
Sementara itu, Mohd Na'im berkata pihaknya menyokong langkah kerajaan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dunia dan keperluan menangani Islamofobia.
"Kami di pihak agensi agama sentiasa menyokong dan sudah tentu akan mempergiatkan usaha memerangi bagi Islamofobia," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi catatan di Facebook miliknya dilaporkan berkata dalam memperingati Hari Antarabangsa untuk Memerangi Islamofobia hari ini, Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa secara konstruktif dan kolektif.
-- BERNAMA