Jakim mahu perluaskan tawaran biasiswa pendidikan Mualaf
Bernama
Julai 13, 2017 14:17 MYT
Julai 13, 2017 14:17 MYT
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tertarik untuk melebarkan inisiatif dilakukan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang menawarkan biasiswa kepada mualaf bagi melanjutkan pendidikan.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Othman Mustapha berkata usaha itu dilihat sebagai pendekatan yang cukup menarik dan murni dalam usaha membantu saudara baharu meningkatkan ilmu pengetahuan serta patut dicontohi oleh negeri-negeri lain.
"Tawaran biasiswa sedemikian kepada mualaf belum ada dilakukan oleh mana-mana pihak sebelum ini. Justeru Jakim akan berusaha agar pendekatan yang amat baik ini dapat dikembangkan lagi.
"Saya juga difahamkan MAIPs menawarkan biasiswa kepada mualaf tanpa mengira had usia, malah pelajar berusia 40 tahun juga layak menerimanya," katanya kepada pemberita pada Majlis Semarak Kasih Syawal bersama Mualaf di Dewan 2020, di sini, malam tadi.
Othman mengulas demikian sebagai merujuk titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, mengenai usaha MAIPs memberi bantuan berbentuk biasiswa kepada 50 mualaf untuk melanjutkan pengajian di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).
Sehubungan itu, Othman berkata Jakim akan membawa usul seperti dilaksanakan MAIPs itu ke persidangan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) untuk dibincangkan.
"Kita akan meminta MAIPs membuat kertas cadangan agar ia boleh diteliti bersama pada persidangan itu nanti agar kebajikan ini dapat dinikmati oleh lebih ramai lagi saudara baharu kita," katanya.
Terdahulu, lebih 600 mualaf dari zon utara merangkumi Perlis, Kedah dan Pulau Pinang dirai dalam majlis sambutan Aidilfitri itu.
Raja Muda Perlis selaku Yang Dipertua MAIPs dan Raja Puan Muda Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada mereka yang diraikan.
-- BERNAMA