Jakim lapor MCMC hantaran TikTok papar bacaan Qunut Nazilah doakan musibah ke atas PM

Bernama
Julai 13, 2024 16:05 MYT
Mohd Na'im Mokhtar berkata Jakim menyerahkan kepada MCMC untuk menyiasat dan mengambil tindakan ke atas akaun itu. - Foto Bernama
IPOH: Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung hantaran sebuah akaun Tik Tok yang menyertakan bacaan Qunut Nazilah sambil mengajak orang ramai mendoakan musibah ke atas Perdana Menteri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata Jakim menyerahkan kepada MCMC untuk menyiasat dan mengambil tindakan ke atas akaun itu.
"Kita akan minta SKMM menilai kandungan berkenaan dan terpulang kepada pihak berkuasa itu mengambil tindakan selanjutnya," katanya pada sidang media selepas merasmikan program Jelajah Madani Ulama dan Umara Peringkat Zon Utara di sini hari ini.
Beliau berkata tindakan dibuat pengguna media sosial itu tidak sepatutnya berlaku, malah bertentangan dengan ajaran Islam, dan jika terdapat perbezaan pandangan atau pendapat, ia boleh dizahirkan dengan cara yang beradab melalui cara yang betul.
"Mengadakan doa supaya pemimpin-pemimpin dilaknat itu bukan ajaran agama kita, Nabi Muhammad SAW mengajar berkasih sayang dan sekiranya (ada) beza pandangan apatah lagi dengan pemimpin yang seagama dengan kita, sepatutnya kita zahirkan biarlah dengan adab dan cara yang betul," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada satu hantaran di Tik Tok oleh seorang pengguna yang memperdengarkan Qunut Nazilah, berserta teks yang antara lain memohon ditimpakan bala laknat kepada Perdana Menteri, para menteri, dan penyokongnya.
-- BERNAMA
#JAKIM #qunut nazilah #SKMM #Mohd Na'im Mokhtar #doakan musibah #Perdana Menteri
;