Jakim laksana lima langkah tangani isu GISB dengan lebih berkesan, efektif
Hasimi Muhamad
November 18, 2024 11:30 MYT
November 18, 2024 11:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menyusun sekurang-kurangnya lima langkah untuk menangani isu Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd dengan lebih efektif dan berkesan.
Memberitahu Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, antara langkah tersebut ialah pembentangan kajian dan penyelarasan fatwa di peringkat negeri.
Jelas beliau, Jakim telah membentangkan hasil kajian dan penyelidikan mengenai isu GISB kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke-125 yang diadakan pada 24 hingga 26 September lalu.
"Hasil muzakarah telah memutuskan GISB sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam. Selaras dengan itu, tujuh buah negeri telah memutuskan fatwa pengharaman kumpulan GISB iaitu Perlis, Selangor, Pahang, Melaka, Sabah, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.
"Keputusan jawatankuasa Muzakarah MKI juga telah disembah maklum dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-267 yang pada 23 hingga 24 Oktober lalu," katanya di Dewan Rakyat, di sini, pada Isnin.
Beliau menjawab pertanyaan Zakri Hassan (PN-Kangar) mengenai langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dalam menangani isu GISB yang telah timbul kembali sejak sekian lama.
Mengulas lanjut, Mohd Na'im berkata, langkah kedua ialah penguatkuasaan dan pendakwaan di bawah perundangan syariah negeri-negeri.
Ujarnya, berdasarkan penemuan dan siasatan yang dijalankan oleh pihak Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri, pengikut GISB didapati boleh didakwa di bawah beberapa peruntukan meliputi Akta atau Enakmen Perundangan Syariah Negeri-negeri.
"Buat masa ini, beberapa buah Jabatan Agaman Islam Negeri sedang melengkapkan siasatan terhadap orang yang disyaki (OYDS) dalam kalangan ahli GISB untuk didakwa di mahkamah syariah negeri masing-masing," kata beliau.
Selain itu, mengadakan program pemulihan akidah secara holistik kepada ahli GISB; menjalankan pemantauan berterusan secara bersepadu; serta program penjelasan fatwa GISB kepada masyarakat.
Tegas Mohd Na'im, kerajaan berpandangan fatwa GISB amat perlu diperjelas dan disebar luas kepada seluruh ahli masyarakat bagi memastikan agar tidak timbul salah faham terhadap tindakan yang diambil ke atas GISB.
Ujar beliau lagi, Jakim akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan akidah dan pegangan umat Islam secara keseluruhannya termasuk ahli-ahli GISB melalui pembudayaan ilmu dan pentarbiahan yang komprehensif dan berkesan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri serta agensi-agensi lain yang berkaitan.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai jumlah pengikut GISB dan syarikat khususnya yang berada di luar negara, beliau berkata, pihak berkuasa melalui jawatankuasa khas yang ditubuhkan sedang mengenal pasti perkara tersebut.
"Mengenai data statistik berhubung angka perniagaan GISB di luar negara, kami akan bekerjasama rapat dengan pihak polis dan akan memberikan butiran mengenai bilangan syarikat tempatan dan antarabangsa dimiliki oleh GISB.
"Jawatankuasa antara polis dan Jakim serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan turut mengenal pasti pengikut GISB dalam dan luar negara," jelas beliau.