Jakim jumpa kumpulan pendakwah selebriti untuk bincang kaedah jaga nama baik
Muhafandi Muhamad
Disember 12, 2020 19:50 MYT
Disember 12, 2020 19:50 MYT
KOTA BHARU: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan pertemuan dengan pendakwah selebriti pada penghujung bulan ini bagi berbincang kaedah menjaga imej golongan agamawan dan Islam.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary, berkata pertemuan itu juga bagi menyampaikan mesej kerajaan untuk mengharmonikan institusi dakwah.
Katanya, ia adalah langkah proaktif untuk mengatasi isu pandangan negatif sesetengah pihak kepada agama disebabkan beberapa individu yang berstatus pendakwah atau penceramah terkenal terpalit dengan siasatan kes tertentu.
"Kita tahu walaupun kes seumpama ini adalah kes terpencil, tapi apabila melibatkan golongan pendakwah sudah pasti memberi imej yang tidak baik terutamanya kepada agama Islam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu membabitkan individu digelar pendakwah dan penceramah yang disiasat kerana kesalahan seksual.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Sumbangan Musaadah Nelayan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang, di sini hari ini.