JAKIM diminta siasat video pelajar didakwa puja guru secara melampau

Afiezy Azaman
Oktober 10, 2024 11:53 MYT
Agensi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan khususnya JAKIM, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan YADIM diminta melipatgandakan usaha memberikan kefahaman kepada masyarakat berkaitan asas akidah berteraskan Ahli Sunnah Waljamaah.
KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diminta menyediakan laporan berhubung seorang pendakwah dan sekumpulan pelajar yang mengalunkan bait tertentu dalam bahasa Arab dalam sebuah majlis yang tular di media sosial semalam.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, perkara itu juga akan dibawa kepada tindakan pihak berkuasa agama Islam iaitu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah serta Jabatan Mufti Negeri Kedah.
"Sebarang isu berkaitan ketaksuban melampau perlu ditangani dengan segera kerana sekiranya tidak dibendung, ia boleh mengakibatkan masyarakat terjerumus kepada amalan yang bercanggah dengan akidah.
"Agensi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan khususnya JAKIM, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia diminta untuk melipatgandakan usaha memberikan kefahaman kepada masyarakat berkaitan asas akidah berteraskan Ahli Sunnah Waljamaah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, tular video berdurasi satu minit dua saat melibatkan seorang pendakwah dan sekumpulan pelajar dalam sebuah majlis yang mengalunkan bait tertentu dalam bahasa Arab.
Alunan bait itu didakwa memuja serta memuji secara melampau seorang guru agama dari negeri utara yang dikatakan boleh membawa kepada amalan kekultusan.
#JAKIM #pendakwah Kedah #taksub melampau #puja melampau
;