Jakim diarah bertemu GISB, dapatkan penjelasan dakwaan terlibat ajaran sesat - Mohd Na'im

Bernama
September 7, 2024 18:55 MYT
Mohd Na'im berkata pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi dalam isu berkaitan akidah umat Islam kerana ia adalah perkara asas dalam Islam yang mesti dipelihara setiap masa. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah diarahkan untuk mengadakan pertemuan dengan pihak GISB Holdings Sdn Bhd bagi mendapatkan maklum balas serta penjelasan berhubung dakwaan penglibatan syarikat itu dengan ajaran sesat al-Arqam dan Rufaqa.

Ringkasan AI
  • Jakim diarahkan bertemu GISB Holdings untuk mendapatkan penjelasan mengenai dakwaan penglibatan syarikat itu dengan ajaran sesat al-Arqam dan Rufaqa.
  • Menteri Hal Ehwal Agama menegaskan tiada kompromi dalam isu akidah umat Islam, dan masyarakat diminta membuat laporan jika terdapat kegiatan mencurigakan.
  • Pihak berkuasa termasuk PDRM dan jabatan agama Islam negeri-negeri akan menjalankan siasatan, dengan kerjasama penuh dari Jakim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi dalam isu berkaitan akidah umat Islam kerana ia adalah perkara asas dalam Islam yang mesti dipelihara setiap masa.
Beliau berkata masyarakat perlu membuat laporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan jabatan agama Islam negeri sekiranya mendapati terdapat sebarang kegiatan yang diragui serta boleh memesongkan akidah.
"Ini penting sebagai asas dan maklumat sokongan kepada pihak berkuasa termasuk pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri membuat siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasminya hari ini.
Mohd Na'im berkata pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada PDRM dan pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri dalam melakukan siasatan terhadap isu berkenaan.
Media baru-baru ini melaporkan Mohd Na'im mengesahkan mengenai sesi libat urus dengan wakil syarikat GISB ekoran pelbagai dakwaan terpalit dengan syarikat yang didakwa ada kaitan dengan ajaran sesat serta mengeksploitasi agama dan kanak-kanak untuk meminta derma serta menjalankan perniagaan.
-- BERNAMA
#GISB #ajaran sesat #al-arqam #JAKIM
;