JAKIM berhak tarik balik sijil halal jika terdapat ketidakpatuhan

Bernama
Februari 5, 2025 18:30 MYT
Pengerusi Akademi Halal Antarabangsa Malaysia (MIHA), Mohd. Rizal Ismail (dua, kiri) yang mewakili pihak JAKIM bersama Ketua Pegawai Eksekutif Emart24 Holdings Sdn. Bhd. Vuitton Pang (dua, kanan) bercakap pada sidang media. - Foto BERNAMA
BANGI: Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) mempunyai kuasa untuk menarik balik pensijilan halal yang diberikan kepada syarikat dan peniaga pada bila-bila masa sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan, kata Pengerusi Akademi Halal Antarabangsa Malaysia (MIHA) Mohd Rizal Ismail.
Beliau berkata, oleh itu, peniaga diingatkan untuk sentiasa memastikan produk yang dijual adalah daripada sumber yang halal, bersih, dan selamat untuk pengguna.
"Yang penting sekali, selepas mendapat pensijilan halal, peniaga perlu menjaga kualiti kerana pihak JAKIM mempunyai prosedur untuk menarik sijil halal sekiranya terdapat aduan.
"Bermakna selepas mendapat sijil halal, mereka tidak boleh terus melupakan aspek ini tetapi mesti sentiasa menjaga sehingga tamat tempoh sijil," katanya pada sidang media selepas sesi penyerahan pensijilan halal kepada cawangan rangkaian kedai serbaneka emart24 di sini hari ini.
Mohd Rizal yang mewakili JAKIM berkata pemeriksaan secara rambang boleh dilakukan pihak berkuasa bagi memantau sebarang ketidakpatuhan terhadap aspek pensijilan halal, termasuk jika menerima aduan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif emart24 Holding Sdn Bhd Vuitton Pang memuji JAKIM kerana membantu memudahkan proses pensijilan halal walaupun ia dilaksanakan dengan teliti.
"Sudah tentu proses untuk menerima pensijilan halal dan untuk sampai ke tahap ini memenatkan, namun sokongan daripada pasukan JAKIM yang berdedikasi menjadikan perjalanannya sangat lancar.
"Jadi, sesiapa sahaja boleh memperoleh pensijilan halal, hanya bergantung kepada usaha dan kemahuan untuk melakukannya," katanya.
Beliau berkata pihaknya akan berusaha mendapatkan pensijilan halal untuk semua 84 cawangan sedia ada dan cawangan baharu menjelang awal 2026, dengan sasaran lima cawangan memperoleh sijil itu setiap bulan.
"Sebagai jenama yang berpegang teguh kepada prinsip keterangkuman, matlamat kami adalah untuk penuhi keperluan komuniti dan hormati nilai agama di Malaysia," katanya.
-- BERNAMA
#JAKIM #tarik balik sijil halal #ketidakpatuhan #Mohd Rizal Ismail
;