JAKIM anjur solat hajat solidariti Palestin hingga akhir Ramadan
Bernama
Mac 19, 2025 21:15 MYT
Mac 19, 2025 21:15 MYT
Sebagai tanda solidariti dan doa buat saudara seagama di Palestin, JAKIM akan menganjurkan solat hajat setiap malam di tiga masjid utama di bawah seliaannya bermula hari ini hingga akhir Ramadan. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sebagai tanda solidariti dan doa buat saudara seagama di Palestin, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan solat hajat setiap malam di tiga masjid utama di bawah seliaannya bermula hari ini hingga akhir Ramadan.
Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dalam kenyataan hari ini berkata masjid yang akan terlibat ialah Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada setiap malam selepas solat Isyak.
Belia berkata tindakan Israel melancarkan serangan udara di Semenanjung Gaza yang mengorbankan 404 nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak serta mencederakan 562 yang lain merupakan pengkhianatan terhadap perjanjian gencatan senjata dan kezaliman berterusan ke atas rakyat Palestin.
"Marilah bersama-sama bermunajat kepada Allah SWT, tambahan pula keberadaan kita di bulan Ramadan yang mulia ini, agar diberikan keselamatan dan kemenangan kepada rakyat Palestin yang terus dizalimi dan ditindas tanpa belas kasihan.
"Semoga di bulan yang penuh rahmat ini, Allah SWT mengabulkan doa kita untuk mereka yang sedang berjuang di jalan-Nya," katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa Malaysia mengutuk serangan terbaharu Israel ke atas Semenanjung Gaza sehingga menyebabkan lapan petugas kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) turut terkorban dalam serangan udara, Sabtu lepas.
Menyifatkan serangan itu sebagai satu perbuatan keji dan tidak dapat dipertahankan, Anwar berkata Malaysia akan terus menyatakan bantahan kepada pimpinan dan komuniti antarabangsa.
-- BERNAMA