JAKIM ambil tindakan pegawai terlibat aktiviti politik

Afiezy Azaman
Ogos 17, 2023 09:00 MYT
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd. Yusoff menegaskan, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan tatatertib terhadap pegawai yang didapati melanggar sebarang peraturan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil serius laporan berhubung penglibatan pegawainya dalam aktiviti politik.
Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd. Yusoff, JAKIM tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan tatatertib terhadap pegawai yang didapati melanggar sebarang peraturan.
"JAKIM ingin merujuk isu tular di media sosial dan aduan yang melibatkan penyertaan pegawai JAKIM dalam aktiviti politik.
"Saya telah mengarahkan Jawatankuasa Tatatertib JAKIM untuk bertindak segera berpandukan kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.
Mengulas lanjut, Hakimah meningatkan kepada semua warga kerja JAKIM untuk sentiasa mematuhi peraturan yang sedang berkuatkuasa dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan integriti dan imej perkhidmatan awam.
Kenyataan JAKIM itu dipercayai merujuk penglibatan seorang pegawai kanan jabatan itu dalam aktiviti sebuah parti politik.
#JAKIM #tindakan tatatertib #pegawai terlibat politik #Datuk Hakimah Mohd Yusoff
;