Jakim akan panggil Harith Iskander

Sinar Harian
Januari 23, 2025 08:00 MYT
SIRAJUDDIN: Jakim tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang tindakan yang mempersendakan ajaran Islam serta menyinggung sensitiviti umat Islam. - Foto Jakim
SHAH ALAM: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memanggil Harith Iskander bagi mendapatkan perincian berhubung isu kontroversi dikaitkan dengan pelawak dan pelakon itu.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya juga telah membuat laporan polis bagi siasatan dan tindakan lanjut kerana telah menimbulkan keresahan umat Islam.
Menurutnya, selain itu Jakim juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk tindakan sekatan akaun dan menurunkan kandungan.
"Semua pihak diminta bertenang dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan Jakim tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang tindakan yang mempersendakan ajaran Islam serta menyinggung sensitiviti umat Islam.
"Diharapkan semua pihak dapat mengamalkan sifat hormat dan bertoleransi dalam kehidupan bermasyarakat," ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum itu, hantaran dalam Facebook dipercayai dimuat naik tiga hari yang lalu oleh Harith Iskandar mengandungi gambar secawan Ham Sap Kopi dengan kapsyen.
“I'm so confused. My iman tergugat. This kopi will lead me down the wrong path in so many ways. Not just tempting me to become hamsap but ALSO confusing me with the word ‘ham’ in it. Ni untuk minum atau makan?
I must make a polis report because I am so weak I have lost all ability to use logic. Who else is confused," katanya menerusi hantaran tersebut pada Selasa.
Kemudiannya dikomen oleh Cecelia Yap Song KL dengan kenyataan: “All names with Mohammad... got to be renamed then".
Tambah Sirajuddin, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan negara haruslah dihormati pada setiap masa.
"Ia bukanlah alasan untuk masyarakat tidak menjalani kehidupan yang harmoni dalam situasi masyarakat berbilang kaum dan agama," jelasnya. - Sinar Harian
BACA: Produk 'ham and cheese sandwich' dijual di UM tiada sijil halal - JAKIM
BACA: Syarikat pembekal sandwic kontroversi dakwa bahan mentah ada sijil halal
BACA: Polis terima laporan kes simbah cat merah di kedai serbaneka UM
BACA: KPDN buka kertas siasatan kilang roti disyaki salah guna logo halal
#Harith Iskander #JAKIM #Islam sebagai agama Persekutuan #menimbulkan keresahan umat Islam #sandwich ham dan keju
;