Jakim, agensi penguat kuasa perlu ambil tindakan serius siasat, banteras aliran menyimpang - PM

Hasimi Muhamad
September 24, 2024 17:20 MYT
Perdana Menteri hari ini mengadakan pertemuan bersama pegawai tertinggi Jakim bagi membincangkan beberapa perkara melibatkan hal ehwal Islam di negara ini - Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu tindakan serius dan bersepadu diambil oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan agensi penguat kuasa bagi menyiasat serta membanteras segala bentuk aliran yang menyimpang daripada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Perdana Menteri menegaskan perkara itu perlu dibendung sehingga ke akar umbi.
Jelas Anwar, ia antara yang dibincangkan dalam pertemuan bersama pegawai tertinggi Jakim hari ini, yang turut menyentuh beberapa perkara melibatkan hal ehwal Islam di Malaysia.
"Intiha (akhir sekali), saya tegaskan bahawa Kerajaan MADANI mengambil serius perkara sebegini yang menyentuh pegangan akidah dan syariat umat Islam di Malaysia," katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya hari ini.
Dalam pertemuan tersebut juga, Anwar menambah platform itu penting mengambil kira perkembangan mutakhir khususnya mengenai prospek ekonomi dalam sektor halal di dalam dan luar negara.
"... yang menagih kebersamaan antara agensi persekutuan bagi membantu merancakkan lagi industri halal Malaysia," katanya lagi.
Perdana Menteri turut menitipkan doa agar Allah SWT melindungi rakyat dan negara ini daripada sebarang bahaya serta ancaman yang menyimpang dan boleh merosakkan pegangan sebenar akidah dan syariat.
Sementara itu, Anwar dalam kemas kini berasingan memaklumkan telah menerima kunjungan Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin selepas selesai pertemuan dengan Jakim.
"Alhamdulillah kami sempat bertukar pandangan terkait pelbagai isu yang berlaku mutakhir ini khususnya menyentuh hal ehwal Islam," jelas beliau.
#Anwar Ibrahim #JAKIM #Islam di Malaysia #Ahli Sunnah Wal Jamaah #terkini
;