Jaket tersangkut tayar motosikal, anggota tentera parah tangan hancur
Bernama
Julai 19, 2022 23:06 MYT
Julai 19, 2022 23:06 MYT
TAMPIN: Seorang anggota tentera cedera parah apabila tangan kirinya hampir putus selepas termasuk ke dalam rim motosikal yang dinaiki bersama rakan dalam kemalangan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas hari ini.
Ketua Polis Daerah Tampin Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata dalam insiden pada kira-kira 7 pagi itu, dua lelaki berusia 37 tahun yang merupakan anggota tentera dalam perjalanan dari Felda Pasir Besar ke kem tersebut dengan menunggang motosikal jenis Yamaha Y15.
"Sejurus sampai di hadapan Hospital Tentera Darat Kem Syed Sirajuddin, Gemas secara tiba-tiba baju panas milik pembonceng (mangsa) tersangkut di sprocket (gegancu) motosikal yang dinaiki mereka dan menyebabkan baju itu terbelit.
"Hal itu menyebabkan mangsa terjatuh ke sisi kiri motosikal lalu mengakibatkan tangan kirinya termasuk ke dalam (celah) rim," menurutnya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata akibat kemalangan itu, mangsa cedera parah di tangan kiri yang hancur dan hampir terputus serta patah kaki kiri manakala rakannya, yang merupakan penunggang motosikal, tidak mengalami kecederaan.
Anuwal berkata mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tentera Darat Tuanku Mizan di Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA