Jaket keselamatan 'penyambung' nyawa

Hakim Rahman
Oktober 16, 2017 16:59 MYT
Ketika kejadian, ketiga-tiga individu itu sedang bergerak dari Kampung Tandik, Kota Marudu menuju ke bagang untuk memancing ikan. - Sumber foto APMM
Tiga pemancing terselamat daripada maut selepas bot fiber mereka terbalik akibat ombak kuat dan angin kencang, dalam kejadian awal pagi semalam.
Menurut Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan,Laksamana Muda Maritim Mohd Zubir Mat Som, ketika kejadian mereka sedang bergerak dari Kampung Tandik, Kota Marudu menuju ke bagang untuk memancing ikan.
"Bot fiber mereka kemudian dipukul ombak dan angin kencang hingga menyebabkan bot tersebut terbalik,
"Ketiga-tiga mereka yang memakai jaket keselamatan kemudiannya berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke bagang ikan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Mohd Saderi Nurkin yang berusia 30 tahun, Fardarin Sunan (39 tahun) dan Joennie Jubili (29 tahun).
Menurut Mohd Zubir, pihaknya membawa mangsa untuk rawatan lanjut dan menunda bot mangsa ke Tanjung Batu, Kota Marudu di sini.
#bot #keselamatan #Laksamana Muda Maritim Mohd Zubir Mat Som #mangsa #Maritim Wilayah Sabah dan Labuan #maut
;