Jajaran Seksyen 8 WCE boleh dibuka kepada pengguna

Abd Razak Mohd Ali
Mei 21, 2019 20:17 MYT
Hasil pemeriksaan mendapati jajaran Seksyen 8 telah mematuhi keperluan yang ditetapkan LLM dan boleh dibuka kepada pengguna. - Astro AWANI
Jajaran Seksyen 8 dari Hutan Melintang - Teluk Intan, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) sudah boleh dibuka kepada pengguna.
Pengarah Urusan WCE Sdn Bhd, Datuk Neoh Soon Hiong bagaimanapun berkata, ia tertakluk kepada proses pewartaan.
“Tarikh pembukaan akan diumumkan oleh pihak kerajaan di dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, pada Selasa.
Menurutnya, pemeriksaan di tapak bagi jajaran itu telah dilaksanakan bersama pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), yang meliputi semakan terhadap penyiapan fizikal lebuh raya serta aspek keselamatan.
“Hasil pemeriksaan tersebut, mendapati jajaran Seksyen 8 telah mematuhi keperluan yang ditetapkan oleh pihak LLM dan boleh dibuka kepada pengguna, tertakluk kepada proses pewartaan,” ujarnya.
Pada Februari, Soon Hiong, dilaporkan berkata lima pakej WCE dijangka dibuka sebelum sambutan Aidilfitri, bagi memudahkan pengguna jalan raya pulang ke destinasi masing-masing.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah LLM, Datuk Aziz Abdullah, ia mungkin tidak dapat dilaksanakan berikutan masih ada kerja-kerja di lebuh raya itu yang masih perlu dilaksanakan bagi memastikan ia benar-benar selamat.
Jajaran WCE merentasi Selangor dan Perak sepanjang 233km dengan di Selangor bermula dari Jalan Banting - KLIA (B18) hingga persimpangan bertingkat Tanjong Karang sepanjang 93.8km.
Di Perak, WCE bermula dari Jalan Persekutuan (FR5) di Hutan Melintang ke Plaza Tol Changkat Jering sepanjang 139.2km.
#Aziz Abdullah #Hutan Melintang - Teluk Intan #jajaran #Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat #Lembaga Lebuhraya Malaysia #LLM #Neoh Soon Hiong #pewartaan #Seksyen 8 #WCE
;