Jajaran MRT SBK bawa dimensi baru masyarakat
Wan Syamsul Amly, Afza Fahmidah
Julai 13, 2017 15:36 MYT
Julai 13, 2017 15:36 MYT
Fasa kedua laluan MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK) bakal mengubah kehidupan rakyat terutama mereka yang tinggal di sepanjang laluan jajaran pengangkutan awam berkenaan.
Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Berkepentingan MRT Corp, Datuk Najmuddin Abdullah berkata, kira-kira 1.2 juta penduduk yang tinggal di jajaran MRT berkenaan terutamanya dapat menikmati kemudahan di 31 stesen perjalanan.
"Terdapat sekitar 44 buah sekolah, 10 hospital dan banyak pusat beli-belah dalam jangkauan radius 500 meter dari koridor laluan tersebut.
"Setakat ini hanya ada lebuh raya di sekitar kawasan jajaran. Tiada khidmat pengangkutan awam yang disediakan lagi, jadi MRT ini adalah penyelesaiannya," katanya semasa taklimat bersama media pada Majlis Pra Pelancaran MRT SBK di sini hari ini.
INFOGRAFIK: Fasa kedua Sg Buloh-Kajang MRT
Turut hadir, Pengarah Projek MRT Laluan SBK, Marcus Karakashian.
Laluan LRT SBK sepanjang 51 kilometer itu akan dibuka pada 17 Julai ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di stesen Tun Razak Exchange (TRX).
Ia dibuka dari pukul 6 pagi sehingga 12 tengah malam setiap hari selain perjalanan antara Sungai Buloh ke Kajang akan mengambil masa selama 84 minit dengan tambang berjumlah RM5.90 sehala.
Dalam pada itu, frekuensi tren adalah selama 4 minit semasa waktu puncak iaitu dari pukul 7 sehingga 9 pagi dan pukul 5 sehingga 7 petang.
Sementara frekuensi pada luar waktu puncak pula adalah antara 7 sehingga 15 minit.
Dalam pada itu jelas Najmuddin, perkhidmatan itu dapat menjimatkan masa perjalanan di samping mengurangkan kesesakan jalan raya.
"Bagi menggalakkan orang ramai menaiki MRT, kemudahan parkir seperti bangunan tempat letak kereta disediakan di stesen-stesen berdekatan taman perumahan seperti di stesen Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Taman Midah, Taman Connaught, Bukit Dukung dan Kajang.
"Misalnya, bangunan tempat letak kereta di stesen Taman Midah dapat menampung sebanyak 1,353 kereta, manakala di stesen Kajang sebanyak 1,180 kereta dan di stesen BTHO sebanyak 305 kereta," katanya.
Dalam pada itu ujarnya, MRT Corp kini sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk membina sebuah aplikasi yang mengandungi maklumat seperti peta laluan dan frekuensi MRT untuk melancarkan lagi pelan perjalanan penumpang.
Pada Rabu, Datuk Seri Najib menzahirkan rasa puas hati terhadap kelancaran MRT SBK.
Sebanyak 12 stesen dari Sungai Buloh- Semantan fasa pertama sudah mula beroperasi pada 16 Disember tahun lalu.