Jajaran kedua MRT mula pembinaan suku kedua 2016

Israr Khalid
Julai 5, 2015 08:00 MYT
Jajaran kedua MRT yang menghubungkan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) dijangka bakal memulakan pembinaannya pada suku kedua tahun 2016.
Jajaran kedua MRT yang menghubungkan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) dijangka bakal memulakan pembinaannya pada suku kedua tahun 2016.
Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT Corp, Amir Mahmood Razak memaklumkan, pembinaan akan dimulakan dengan fasa pertama yang melibatkan laluan tingkat atas daripada Sungai Buloh hingga Kampung Batu.
"Jajaran kedua sekarang berada di tahap pemeriksaan awam yang akan berakhir 17 Ogos ini. Kemudian kita akan ambil masa sedikit untuk mempertimbang segala cadangan dan maklumat yang telah dikumpul.
"Kita menjangkakan selewat-lewatnya Disember ini untuk projek jajaran kedua mendapat kelulusan daripada kerajaan sebelum ia memulakan pembinaan," katanya dalam sidang media majlis 'Grand Finale' Peraduan 'Get On Board With MRT SSP Line' di ibu kota pada Sabtu.
Menurut Amir, fasa kedua jajaran SSP pula dijangka akan memulakan operasi pada 2021.
"Kita sasarkan pada suku kedua tahun 2022, MRT di kedua-dua jajaran sudah siap sepenuhnya dan sedia untuk dibuka kepada orang ramai," katanya.
Justeru beliau mengalu-alukan orang ramai untuk terus memberi maklum balas bagi menambah baik cadangan pembinaan jajaran SSP itu.
"Setakat ini kami sudah menerima sekitar 6,000 komen di laman web rasmi, Facebook dan laman sosial MRT yang lain. 94 peratus daripadanya bersetuju dan memberi maklum balas baik berhubung cadangan pembinaan yang dibuat.
"Maklum balas daripada orang ramai amat penting bagi memastikan ia nanti dapat memberi perkhidmatan yang memuaskan setiap pihak," katanya.
Beliau mengambil contoh cadangan awal pembinaan trek yang memerlukan Stadium Kajang dirobohkan bagi membolehkan laluan tingkat atas dibina di atas kawasan tersebut.
"Pada awalnya kami memilih lokasi tersebut memandangkan ianya tanah milik kerajaan dan ia dapat menjimatkan kos pembinaan.
"Bagaimanapun hasil maklum balas orang ramai yang membantah cadangan tersebut atas alasan Stadium Kajang menjadi tempat beriadah penduduk setempat setiap petang, maka kami telah mempertimbangkan permintaan tersebut dan akhirnya lokasi pembinaan telah dianjakkan.
"Kami juga menerima cadangan supaya diwujudkan 'feeder bus' supaya dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di stesen MRT. Ia cadangan yang bagus dan kami akan mempertimbangkannya," jelasnya.
Trek sepanjang 52.2 kilometer itu menghubungkan 36 stesen dengan anggaran masa perjalanan dari hujung ke hujung selama 84 minit bakal menelan belanja sekitar RM 8 bilion.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa pembinaan jajaran pertama yang menghubungkan Sungai Buloh-Kajang (SBK) sudah mencapai 64 peratus siap.
Beliau yakin bahawa segalanya berjalan lancar dan akan siap seperti dijadualkan.
"Untuk jajaran SBK, kita telah mencapai lebih daripada yang kita jadualkan setakat ini.
"Kami kekal yakin dengan operasi fasa pertama iaitu daripada Sungai Buloh ke Semantan, iaitu berdekatan ibu pejabat MRT, akan siap dan mula beroperasi pada Disember 2016.
"Julai 2017 seluruh jajaran SBK akan beroperasi sepenuhnya," katanya.
#Amir Mahmood Razak #MRT #SSP Line
;