Jajaran di Sarikei Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak siap Oktober

Bernama
Ogos 11, 2024 13:23 MYT
Nanta yang membuat lawatan ke tapak pembinaan jajaran itu, meminta semua pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan. - Facebook Alexander Nanta Linggi
SARIKEI: Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak Pakej Kontrak Kerja 06 (WP06) di Sarikei sepanjang 64.48 kilometer (km), yang dibahagikan kepada Seksyen Bukit Sebangkoi dan Seksyen Sarikei, telah mencapai 97 peratus dan dijangka siap Oktober ini.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam hantaran Facebook berkata status kerja-kerja pembinaan Seksyen Bukit Sebangkoi telah mencapai 99 peratus dengan baki kerja melibatkan penyambungan kemudahan utiliti iaitu paip air dan penyambungan tenaga elektrik ke lampu-lampu jalan di lokasi terlibat, pemasangan papan tanda dan lampu-lampu jalan di persimpangan pusingan P.
Bagi Seksyen Sarikei pula yang telah mencapai 95 peratus, katanya pihak kontraktor kini memberi fokus kepada kerja-kerja penyambungan paip utama yang menyalurkan bekalan air ke seluruh Bahagian Sarikei.
Beliau berkata, proses itu memerlukan masa dan perlu dilakukan dengan berhati-hati agar tidak berlaku kerosakan utiliti yang boleh menjejaskan bekalan air kepada orang awam.
"Kesemua kerja-kerja pembinaan dijangka siap sepenuhnya menjelang bulan Oktober tahun ini," katanya.
Nanta yang membuat lawatan ke tapak pembinaan jajaran itu, meminta semua pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan.
Beliau turut meninjau KM345 Kuching-Miri, laluan Pakej Kerja 04 (WP04) yang kerap dilanda banjir.
Menurutnya antara penyelesaian yang dibincangkan bersama pasukan kementerian dan Jabatan Kerja Raya (JKR) adalah menaikkan paras jalan setinggi 1.7 meter dari jalan sedia ada yang turut melibatkan kerja-kerja pelebaran jalan.
"Saya turut dimaklumkan kerja penambakan akan bermula bulan hadapan dan dijangka siap pada bulan Disember tahun ini," tambahnya.
-- BERNAMA
#Pan Borneo #lebuh raya #Alexander Nanta Linggi #pembinaan #jajaran sarikei