Jaja kartun di Switzerland: Zunar dianggap hina Perdana Menteri, sistem demokrasi

Pritha Manivannan
Mei 12, 2016 06:04 MYT
"Jika kita ada perbezaan di Malaysia, kita kena uruskannya di Malaysia" - Salleh Said Keruak - Foto BERNAMA
Tindakan kartunis Zulkiflee Anwar Ulhaque atau lebih dikenali sebagai Zunar yang kartunnya mempamerkan unsur provokasi terhadap pentadbiran negara, dianggap sebagai menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan sistem demokrasi Malaysia.
Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak, segala masalah domestik harus diselesaikan secara dalaman tanpa perlu melibatkan pihak luar.
Salleh menegaskan bahawa perbuatan tersebut salah dan tidak harus dilakukan.
"Saya agak kesal perbuatan ini. Kenapa pula benda ini dibuat di negara yang lain. Perbuatan itu sepatutnya tidak berlaku.
"Jika kita ada perbezaan di Malaysia, kita kena uruskannya di Malaysia, kerana ini adalah negara kita. Kita mengamalkan sistem demokrasi," ulasnya mengenai tindakan kartunis itu yang 'menjaja' kartunnya hingga mendapat perhatian di Switzerland.
Katanya, perbuatan Zunar di luar negara itu mencerminkan masyarakat Malaysia, walaupun rakyat Malaysia tidak mengamalkan perbuatan sedemikian.
"Saya yakin sungguh mereka bekerja dalam satu gabungan yang ingin menjatuhkan Perdana Menteri. Ini tidak adil.
"Jika mereka tidak setuju dengan Perdana Menteri, sudah sampai masanya nanti untuk pilihan raya umum diadakan mereka bebas menentukan mana parti yang mereka ingin sokong, mana calon yang mereka hendak pilih.
"Jangan sampai merosakkan nama baik negara. Apakah tujuannya? Adakah ini sebagai sabotaj ekonomi?" kata Salleh.
Kartunis politik, Zunar telah menerima 'Anugerah Keamanan' bagi kartunnya di Switzerland pada 3 Mei 2016.
#Datuk Seri Najib Tun Razak #Datuk Seri Salleh Said Keruak #Menteri Komunikasi dan Multimedia #Perdana Menteri #ZUNAR