JAIS teliti semula penglibatan NGOi dalam pengurusan jenazah COVID-19
Bernama
Ogos 3, 2021 04:30 MYT
Ogos 3, 2021 04:30 MYT
SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengambil keputusan untuk meneliti, menilai dan menstruktur semula peranan serta penglibatan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGOi) dalam mengurus jenazah COVID-19 susulan beberapa isu melibatkan pertubuhan itu dan kes lambakan jenazah di beberapa hospital di Selangor.
Pengarahnya Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata JAIS komited dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu yang mengetepikan kepentingan umum dan mengeksploitasi keadaan genting ini untuk kepentingan yang lain.
Beliau berkata dakwaan dan tuduhan dari sesetengah pihak atau NGOi tertentu bahawa JAIS menghalang mana-mana NGOi dari terlibat dalam pengurusan jenazah COVID-19 adalah tidak berasas sama sekali.
JAIS telah menjalin kerjasama berterusan dengan lebih lapan NGOi dengan kekuatan lebih 130 sukarelawan yang terlibat secara langsung dalam pengurusan 2,071 jenazah COVID-19 sejak Januari tahun ini.
"Perlu diingat, sebarang ketetapan dan pendekatan yang diambil dan dilaksanakan oleh JAIS adalah untuk kepentingan umat Islam seluruhnya.
"Dalam konteks ini, ia dibuat bagi menjaga kepentingan semua pihak termasuk pihak hospital, para petugas, sukarelawan, keluarga atau waris, agensi dan pihak-pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Pada masa yang sama, beliau berkata pihaknya mempelawa mana-mana NGOi yang berhasrat untuk menyertai JAIS dan rakan NGOi lain sedia ada untuk bersama menunaikan tuntutan fardhu kifayah dengan syarat sanggup mematuhi syarat-syarat dan kod etika yang ditentukan oleh pihak JAIS.
-- BERNAMA
#JAIS
#pengebumian
#Islam
#COVID-19
#jenazah
#pengurusan jenazah
#NGOi
#Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan
#Mohd Shahzihan Ahmad