JAIPs rampas 63 barangan ada unsur ajaran sesat di premis dipercayai ada kaitan GISB

Bernama
September 22, 2024 13:15 MYT
JAIPs menasihatkan umat Islam menjauhi ajaran sesat dan menyeru individu yang mempunyai maklumat untuk membantu pihak berkuasa.
KANGAR: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) merampas 63 barangan berkaitan ajaran sesat berunsur batiniah dalam operasi bersepadu di dua premis yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd di sekitar Perlis semalam.

Ringkasan AI
  • JAIPs merampas 63 barangan berkaitan ajaran sesat dalam operasi di dua premis yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd di Perlis.
  • Operasi bersepadu ini melibatkan JAIPs, PDRM, dan agensi berkaitan, selaras dengan Fatwa Ajaran Sesat Berunsur Batiniah yang diwartakan pada 28 Ogos 2024.
  • JAIPs menasihatkan umat Islam menjauhi ajaran sesat dan menyeru individu yang mempunyai maklumat untuk membantu pihak berkuasa. Tindakan lanjut akan diambil mengikut perundangan yang berkuat kuasa.

Pengarah JAIPs Najmuddin Abdul Karim berkata operasi bersepadu berkaitan Op Global itu melibatkan Bahagian Penguatkuasaan JAIPs dengan kerjasama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan.
"Operasi berkenaan dilaksanakan bagi tujuan penguatkuasaan, selaras dengan Fatwa Ajaran Sesat Berunsur Batiniah yang diwartakan pada 28 Ogos 2024.
"Hasil serbuan ke atas dua premis berkaitan GISB Holdings Sdn Bhd di sekitar Perlis, telah menemukan sebanyak 63 barangan berkaitan ajaran tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini yang dimuat naik melalui laman Facebook rasmi JAIPs.
Sehubungan itu, Najmuddin menasihatkan umat Islam di seluruh negeri untuk menjauhi ajaran yang telah difatwakan sesat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis. Beliau turut menyeru mana-mana pihak atau individu yang mempunyai maklumat berkaitan ajaran tersebut agar tampil membantu pihak berkuasa.
"Tindakan selanjutnya akan diambil oleh Jabatan ini (JAIPs) mengikut lunas perundangan dan peraturan yang berkuat kuasa," katanya.
Media melaporkan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang berlangsung Jumaat lepas memutuskan bahawa kepercayaan dan ajaran dalam GISB mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.
Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin dipetik sebagai berkata ajaran itu juga adalah kesinambungan daripada ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat.
Sementara itu, tinjauan Bernama di satu premis pusat jagaan kanak-kanak di Arau yang disyaki mempunyai kaitan dengan GISB ditutup dengan tampalan Notis Pemberitahuan Tindakan Lak (Notice Of Seal) oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis yang berkuat kuasa semalam.
-- BERNAMA
#Global Ikhwan Services and Business #GISB #ajaran sesat #Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis #JAIPs #Najmuddin Abdul Karim
;